PENAMPANG: Carlye Lajimin dipilih sebagai Ketua Pemuda UPKO yang baharu selepas memenangi pemilihan Pergerakan Pemuda UPKO pada Mesyuarat Agung Tritahunan Pemuda UPKO, di sini, kelmarin.

Carlye yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Pemuda UPKO Pusat menggantikan Felix Joseph Saang bagi menerajui sayap Pemuda parti itu untuk tempoh 2026-2029.

Beliau berkata, amanah yang diberikan kepadanya bukan satu kebanggaan peribadi, sebaliknya tanggungjawab besar yang akan dilaksanakan bersama seluruh barisan kepimpinan dan ahli Pemuda UPKO.

“Perbezaan sepanjang proses pemilihan tidak boleh menjadi tembok yang memisahkan kita. Sebaliknya, biarlah ia menjadi pengalaman yang mematangkan kita dan menguatkan lagi perjuangan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan mesyuarat itu.

Menurutnya, Pemuda UPKO perlu kembali bersatu selepas proses pemilihan dan bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan perjuangan parti terus mendapat tempat di hati rakyat Sabah.

Carlye berkata, antara agenda utama yang akan dibawanya ialah merealisasikan gagasan ‘Satu Bahagian, Satu Industri’, dengan setiap bahagian Pemuda UPKO mempunyai sekurang-kurangnya satu inisiatif ekonomi atau industri berdasarkan kekuatan dan potensi kawasan masing-masing.

Katanya, Pemuda UPKO bukan sahaja perlu menjadi penggerak politik, malah turut memainkan peranan sebagai penggerak ekonomi masyarakat.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai usahawan muda, membuka ruang kepada anak-anak muda untuk menjana pendapatan dan membina jaringan perniagaan antara bahagian.

“Paling penting, kita mahu memastikan Pemuda UPKO mempunyai agenda ekonomi yang jelas dan mampu memberi manfaat kepada akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Pemuda UPKO perlu berubah seiring perubahan dunia politik, ekonomi dan teknologi serta keperluan golongan muda yang semakin berkembang.

Katanya, Pemuda UPKO perlu lebih progresif dan berani mencuba pendekatan baharu, selain mendekati pengundi muda bagi memahami suara, keresahan dan impian mereka.

Carlye turut mengajak seluruh barisan kepimpinan, ketua-ketua Pemuda bahagian, perwakilan dan ahli Pemuda UPKO untuk bersama-sama menjayakan agenda kepimpinan baharu itu.

“Mulai esok, tugas kita bermula. Kita akan kembali ke bahagian masing-masing untuk turun ke akar umbi, membantu rakyat dan membina ekonomi anak muda.

“Kita sanggup memikul amanah kerana politik yang sebenar ialah khidmat kepada rakyat,” katanya.

Dalam pemilihan itu, Gideon Gadit dipilih sebagai Pengerusi Tetap manakala Rayner Ebi sebagai Timbalan Pengerusi Tetap.

Newbaxter Tibin pula dipilih sebagai Timbalan Ketua Pemuda UPKO Pusat.-pr/BNN