KOTA KINABALU: Pelantikan Tuan Haji Abidin Marjan sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah berkuatkuasa 17 Ogos 2026, disifatkan tepat pada masanya bagi memberikan nafas baharu dalam memperkukuh pengurusan serta kecemerlangan pendidikan di negeri ini.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata kepimpinan berpengalaman, berwibawa dan memahami realiti pendidikan Sabah penting bagi memastikan dasar serta agenda pendidikan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Katanya, perhatian perlu terus diberikan kepada kebajikan guru, pembangunan sekolah, penyediaan kemudahan, keperluan tenaga pengajar serta akses pendidikan berkualiti, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Pelantikan ini diharapkan dapat memperkukuh keyakinan warga guru bahawa suara, kebajikan dan keperluan mereka akan terus diberi perhatian.
“Pada masa sama, aspek pembangunan sekolah, kemudahan pendidikan dan peluang mendapatkan pendidikan berkualiti perlu terus diperkasakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Yazid berkata, sektor pendidikan memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, terutama dalam melahirkan modal insan berkualiti, berkemahiran, berdaya saing dan mempunyai jati diri.
Beliau berkata, pembangunan negeri tidak hanya bergantung kepada kemajuan fizikal dan ekonomi, sebaliknya memerlukan modal insan yang mampu menjadi penggerak pembangunan Sabah untuk jangka panjang.
“Pada masa sama, kita mahu melahirkan generasi anak Sabah yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi memiliki kemahiran, kreativiti, kepimpinan dan integriti serta mampu bersaing dalam dunia yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) Daerah Keningau dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PMPS berkata, jurang pendidikan antara bandar, luar bandar dan pedalaman perlu terus ditangani, termasuk dari aspek kemudahan, teknologi, tenaga pengajar dan peluang pembelajaran.
Katanya, kerjasama antara JPN Sabah, guru, ibu bapa, PIBG, komuniti dan semua pihak berkepentingan perlu diperkukuh kerana pendidikan adalah tanggungjawab bersama.
Haji Yazid turut berharap kebajikan serta profesionalisme guru terus dipelihara sebagai tunjang utama pembentukan generasi masa depan, selain yakin kepimpinan Abidin mampu membawa pendekatan lebih terbuka, cekap dan berintegriti dalam menangani cabaran pendidikan negeri.
“Pelantikan ini bukan sekadar tanggungjawab jawatan, tetapi amanah besar untuk memastikan pendidikan Sabah terus bergerak maju sebagai pemangkin pembangunan negeri.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Haji Abidin Marjan dan mendoakan beliau diberikan kekuatan, kebijaksanaan serta keteguhan dalam melaksanakan amanah besar ini demi pendidikan, generasi masa depan dan kemajuan Sabah,” katanya.-pr/BNN




