KENINGAU:  Kira-kira 900 pemimpin masyarakat dari kawasan Parlimen Keningau, Tenom dan Pensiangan diseru menjadi jambatan penghubung antara kerajaan dengan rakyat bagi memastikan dasar, bantuan dan agenda pembangunan disampaikan dengan tepat serta berkesan.

Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang, berkata pemimpin masyarakat bukan sekadar memegang jawatan, sebaliknya memikul amanah besar untuk memahami denyut nadi rakyat dan membantu menyelesaikan permasalahan mereka melalui saluran yang betul.

“Saudara dan saudari menjadi saluran yang membawa suara rakyat kepada kerajaan dan pada masa sama menyampaikan dasar, polisi, bantuan serta agenda pembangunan kerajaan kepada rakyat secara tepat, jelas dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Seminar Kenegaraan Malaysia Peringkat Komuniti hasil kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan UPPM bagi kawasan Keningau, di Dewan Masyarakat Keningau, semalam.

Penyertaan kira-kira 900 pemimpin masyarakat itu membabitkan Bingkor, Liawan dan Tambunan di Parlimen Keningau; Melalap dan Kemabong di Parlimen Tenom; serta Nabawan, Sook dan Tulid di Parlimen Pensiangan.

Awang Kadin berkata seminar itu bukan sekadar platform perkongsian ilmu, malah inisiatif strategik memperkukuh kefahaman mengenai kenegaraan, integriti, tadbir urus baik dan tanggungjawab kepimpinan di peringkat akar umbi.

“Keningau menjadi daerah terakhir melengkapkan siri seminar ini, sekali gus menandakan berakhirnya satu jelajah yang amat bermakna dalam usaha memperkasakan kepimpinan akar umbi negeri ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemimpin masyarakat supaya tidak melihat pelantikan sebagai penghormatan atau peluang mengejar kepentingan peribadi, sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh kejujuran, integriti, keikhlasan dan tanggungjawab.

“Kerajaan memerlukan pemimpin masyarakat yang bekerja, bukannya sekadar memegang jawatan. Kita perlu sentiasa turun padang, mendengar denyut nadi rakyat, mengenal pasti permasalahan dan membantu mencari jalan penyelesaian melalui saluran yang betul,” katanya.

Dalam masa sama, beliau meminta pemimpin masyarakat menjadi sumber maklumat yang dipercayai dengan menyampaikan fakta benar, menjelaskan dasar kerajaan secara berhemah serta menangkis fitnah dan maklumat palsu yang boleh mengelirukan rakyat.

Katanya, integriti perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan dan keputusan dengan mengelakkan penyalahgunaan kuasa, pilih kasih serta kepentingan peribadi ketika membantu rakyat.

“Kepercayaan rakyat adalah aset paling berharga. Sekali kepercayaan itu hilang, amat sukar untuk dikembalikan,” katanya.

Beliau berkata pemimpin masyarakat yang amanah, telus dan berintegriti mampu memperkukuh hubungan kerajaan dengan rakyat, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai masyarakat.

Turut hadir Pegawai Daerah Keningau, Norsih Nusuri; Pengarah Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang; Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Sabah Maju Jaya, Datuk Ramlee Kariah dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS), Haji Nordin Lossin.-pr/BNN