KOTA BELUD: Perpustakaan Negeri Sabah terus memperkukuh peranannya sebagai pusat ilmu, pembelajaran dan pembangunan komuniti menerusi penganjuran Minggu Perpustakaan 2026 yang berlangsung di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kota Belud, hari ini.
Bertemakan “Perpustakaan Memperkasakan Kehidupan”, program itu selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam melahirkan masyarakat berpengetahuan, berkemahiran dan celik maklumat.
Majlis perasmian disempurnakan Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Hassan Mahali, yang mewakili Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.
Dalam teks ucapan James yang dibacakan Hassan, beliau berkata perpustakaan kini bertransformasi daripada sekadar tempat menyimpan buku kepada hab pembelajaran moden, pusat komuniti serta pemangkin usaha merapatkan jurang digital, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, dalam era kecerdasan buatan (AI), data raya dan transformasi digital, perpustakaan mempunyai tanggungjawab membantu masyarakat mendapatkan maklumat sahih selain meningkatkan literasi digital. Kerajaan negeri, katanya, memperuntukkan RM48.57 juta bagi operasi dan pembangunan perpustakaan, termasuk pembinaan cawangan baharu, penggantian perpustakaan desa serta perkhidmatan perpustakaan bergerak.
Sementara itu, Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, George Yih Ching Yaw, berkata Minggu Perpustakaan 2026 menjadi platform strategik menyemarakkan budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat menerusi pelbagai aktiviti inklusif.
Antara pengisian program ialah Pertandingan Penulisan Kreatif, Book Cover Design Competition, Lensa Perpustakaan, Movie Time, Famili Art Attack, Bengkel Seni Lukisan Cina, Bengkel Tulisan Khat dan Pertandingan Eksplorasi Inklusif: Satu Hati, Satu Misi.
Program night@thelibrary pula dijadual berlangsung pada 22 Ogos ini di Ibu Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah dan 29 Ogos di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sipitang. Tahun lalu, program berkenaan menarik hampir 10,000 pengunjung dalam satu malam.
Majlis turut dimeriahkan persembahan Choral Speaking bertajuk “Mekar Bahasa, Lestari Perpaduan” oleh pelajar SJK(C) Chung Hwa Kota Belud yang muncul johan pertandingan peringkat daerah pada 2025 dan naib johan tahun ini.-pr/BNN





