PAPAR: Jasa dan pengabdian dalam dunia pendidikan membawa kepada pengiktirafan apabila Petronella Munting Pawan dinobatkan sebagai Tokoh Pesara Terbilang Daerah Cawangan (DC) Papar oleh Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPM) Daerah Cawangan Papar.

Anugerah itu disampaikan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Dwitahunan Kali Ke-17 PPPPM Negeri Sabah 2026 di Dewan SMK Pengalat, di sini, sebagai penghargaan terhadap dedikasi dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat dalam bidang pendidikan.

Pengerusi PPPPM Daerah Cawangan Papar, Haji Juhan Haji Ahmad, berkata pengiktirafan itu diberikan sebagai penghormatan kepada pesara pegawai perkhidmatan pendidikan yang menunjukkan komitmen dan sumbangan berterusan terhadap pembangunan pendidikan serta kesejahteraan masyarakat.

Katanya, anugerah berkenaan bukan sekadar menghargai tempoh perkhidmatan, sebaliknya mengiktiraf sumbangan dan perjuangan insan pendidikan yang terus menjadi inspirasi selepas bersara.

Petronella, yang berasal dari Pogun Sandapak, Bingkor, Keningau, kini menetap di Papar bersama suami selepas menamatkan khidmat dalam bidang pendidikan.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau mencurahkan tenaga dan pengalaman dalam mendidik serta membimbing generasi muda, sekali gus meninggalkan legasi yang terus dikenang.

Pengiktirafan itu membuktikan bahawa jasa seorang pendidik tidak berakhir dengan persaraan, sebaliknya terus hidup melalui ilmu, nilai dan teladan yang ditinggalkan kepada generasi yang pernah dibimbing.

Jejak bakti anak jati Bingkor itu menjadi bukti bahawa pengabdian yang dilakukan dengan penuh keikhlasan mampu meninggalkan kesan mendalam dalam masyarakat.-PU/BNN