KOTA KINABALU: Kestabilan politik Malaysia mestilah dibina berasaskan keterangkuman dan mencerminkan semangat perkongsian yang menjadi asas kepada pembentukan Persekutuan, kata Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, meskipun aspirasi untuk memperkukuh perpaduan Melayu dan Islam dapat difahami dalam konteks politik dan demografi Semenanjung Malaysia, ia tidak seharusnya menjadi satu-satunya kerangka dalam menentukan kestabilan politik negara.

“Namun, apabila kita membincangkan kestabilan politik di peringkat nasional, kita juga perlu mengiktiraf sejarah, komposisi sosial dan realiti politik Sabah dan Sarawak yang tersendiri,” katanya dalam hantaran di media sosial Facebook hari ini.

Salleh mengulas Perkara 4 dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Setiausaha Agung parti, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bagi pihak Majlis Kerja Tertinggi UMNO semalam.

Beliau berkata Sabah dan Sarawak merupakan masyarakat yang sangat berbilang kaum, agama dan budaya, dan tradisi politik kedua-dua negeri itu turut dibentuk berdasarkan prinsip keterangkuman, saling menghormati dan persefahaman antara pelbagai komuniti.

Beliau turut menegaskan bahawa pembentukan Malaysia pada 1963 merupakan satu konteks sejarah penting yang tidak harus diketepikan.

“Sabah dan Sarawak bergabung bersama Malaya dan Singapura untuk membentuk Malaysia pada 1963, berasaskan perjanjian, perlindungan dan semangat perkongsian yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sejarah ini kekal menjadi asas penting kepada bagaimana rakyat Sabah dan Sarawak memahami kedudukan kita dalam Persekutuan,” katanya.

Salleh berkata adalah sama penting bagi rakyat Malaysia di Semenanjung untuk memahami dan menghargai konteks sejarah serta semangat perkongsian yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia.

Beliau berkata aspirasi untuk memperkukuh perpaduan Melayu dan Islam wajar dihormati dalam konteks yang bersesuaian, namun kestabilan jangka panjang Malaysia mesti mengambil kira kepelbagaian masyarakat serta struktur persekutuan negara.

“Kestabilan jangka panjang Malaysia mestilah bersifat inklusif. Ia perlu mengiktiraf kepelbagaian kita, menjunjung semangat federalisme serta menghormati sejarah, kedudukan dan aspirasi Sabah dan Sarawak yang tersendiri,” katanya.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September, Salleh berkata kedua-dua peristiwa bersejarah itu seharusnya menjadi peluang kepada rakyat Malaysia untuk merenung bukan sahaja apa yang diraikan, tetapi juga asas sejarah yang menyatukan negara ini.

“Pemimpin negara kita mesti memahami dan menghormati asas-asas ini.

“Malaysia akan kekal kukuh apabila semangat perkongsian yang menjadi asas pembentukannya terus dihormati, dan apabila setiap bahagian dalam Persekutuan berasa dihormati, diwakili serta mempunyai kepentingan yang sama dalam menentukan masa depan bersama,” katanya.-pr/BNN