KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan PKOB peringkat daerah di Kota Kinabalu, Keningau dan Papar berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menghampiri bacaan 200.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata perkara ini telah dimaklumkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini.

“Pelan tindakan mengikut kawasan ini adalah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya.

Setakat jam 5 petang pada Selasa (1 September) bacaan IPU di Kota Kinabalu adalah 177, Tawau (153), Keningau (165), Kimanis, Papar (166) dan Politeknik Kota Kinabalu (153). Kesemuanya adalah dalam tahap “Tidak Sihat.”

Zainudin berkata Ketua Menteri juga telah dimaklumkan bahawa peningkatan IPU dipengaruhi oleh pergerakan angin menghala ke arah Sabah dan dijangka meningkat dengan konsisten selagi tiada hujan berlaku di Kalimantan.

Beliau berkata berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, kesemua kawasan Kota Kinabalu, Tawau, Keningau, Kimanis dan Politeknik Kota Kinabalu adalah dikategorikan dalam tahap Amaran 1A.

“Bagi tahap Amaran 1A, antara tindakan yang ditetapkan ialah menghentikan aktiviti di luar bilik darjah, menangguhkan aktiviti kokurikulum dan sukan, memberikan hebahan kepada orang awam berkenaan bacaan IPU serta langkah berjaga-jaga, meningkatkan penguatkuasaan dan mempergiatkan pemantauan terhadap industri serta tapak pelupusan sampah,” katanya.

Zainudin berkata pengisytiharan darurat atau bencana jerebu akan dilaksanakan apabila bacaan IPU mencecah 500 dan ke atas.

Beliau mencadangkan agar aktiviti rasmi Kerajaan Negeri dibatalkan atau ditangguhkan sekiranya bacaan IPU mencapai atau melebihi 200, manakala aktiviti di dalam bangunan masih dibenarkan.

Zainudin berkata Kerajaan Negeri juga akan mengesyorkan agar sekolah-sekolah di kawasan yang mencapai bacaan atau melebihi 200 ditutup dan menjalani pembelajaran dari rumah.

“Dicadangkan agar pelaksanaan solat hajat diadakan di setiap daerah bagi umat Islam sebagai salah satu usaha memohon perlindungan dan kesejahteraan.

“Pada masa yang sama, rumah-rumah ibadah agama lain turut disarankan untuk melaksanakan aktiviti keagamaan yang bersesuaian mengikut kepercayaan dan amalan masing-masing,” katanya.-pr/BNN