KOTA KINABALU: Seramai 34 peserta menyertai Kursus Asas Kewartawanan anjuran bersama Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang berlangsung kelmarin di Training Room (Jesselton Room), HRD Corp, Sutera Avenue.
Mengangkat tema “Dari Lapangan ke Bilik Berita — Ilmu Kewartawanan Dikongsi Bersama”, kursus itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran asas peserta dalam bidang kewartawanan, khususnya penulisan berita, peranan media dalam komuniti serta pendedahan kepada realiti dunia kewartawanan.
Ketua Pegawai Eksekutif KOPEKS, Buvil Angkui, menerusi sesi “Pendekatan Kinabalu Media” berkongsi mengenai pendekatan, hala tuju dan peranan Kinabalu Media dalam menyampaikan maklumat berkaitan masyarakat secara pantas, terkini dan berwibawa, selain membina jaringan sumber berita yang dapat menyokong keperluan komuniti dan kerajaan.
Pengerusi KOPEKS, Datuk Dr Haji Saat Haji Ag Damit, pula menyampaikan sesi “Asas Penulisan Kewartawanan”, dengan memberi penekanan terhadap teknik menghasilkan berita yang tersusun, jelas dan mempunyai nilai berita, termasuk aspek ketepatan fakta, penyusunan maklumat serta penyampaian mesej yang mudah difahami pembaca.
Sementara itu, Prof Madya Dr Haryati Abd Karim daripada Program Komunikasi, FSSK UMS, menerusi sesi “Peranan Akhbar dalam Komuniti”, mengetengahkan kepentingan media sebagai saluran penyampaian maklumat serta peranannya dalam menghubungkan masyarakat dengan pihak berkepentingan.
Peserta turut mengikuti sesi “Dari Lapangan ke Bilik Berita — Realiti Dunia Kewartawanan” yang dikendalikan wartawan berpengalaman, meliputi proses pengumpulan maklumat, semakan fakta dan penerbitan berita.
Kursus berkenaan turut menekankan tanggungjawab pengamal media untuk memastikan setiap maklumat yang disampaikan tepat, beretika dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Usaha itu diharap dapat memperkasa lebih ramai penulis berita komuniti yang mampu menjadi penghubung berkesan antara masyarakat, organisasi dan kerajaan menerusi penyampaian maklumat yang sahih serta berimpak.-Oleh Paul Ukau/BNN




