KOTA KINABALU: Kualiti udara di sebahagian kawasan di Sabah dilaporkan merosot dengan Kota Kinabalu dan Kimanis mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap Tidak Sihat akibat fenomena jerebu rentas sempadan dari Kalimantan, Indonesia.
Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah, Nor Rashidah binti Mohd Ghazali, bacaan IPU setakat jam 5:00 petang hari ini merekodkan Stesen Kimanis pada paras 170 manakala Stesen Kota Kinabalu berada pada bacaan 157.
“Peningkatan bacaan IPU ini berpunca daripada tiupan angin yang membawa asap tebal hasil kebakaran hutan dan tanah gambut dari Kalimantan merentasi wilayah Borneo.
“Sementara itu, tiga lagi stesen mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana iaitu Keningau (96), Sandakan (81), dan Tawau (78). Stesen Politeknik tidak merekodkan sebarang bacaan ekoran kerja-kerja penyelenggaraan substesen elektrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiada Kebakaran Besar Tempatan Dikesan
Nor Rashidah memaklumkan, rondaan pencegahan oleh pegawai JAS bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengesahkan tiada sebarang kejadian kebakaran besar dikesan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan, mahupun Tawau.
Merujuk laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) berdasarkan imej satelit NOAA-20 pada 4 September lalu, sebanyak 134 titik panas aktif dikesan di Kalimantan dan 133 di Sumatera.
“Bagi negeri Sabah, lima titik panas yang dikesan di belukar daerah Kota Belud, Pensiangan, dan Pitas pada 4 September telah dipantau dan imej satelit terbaharu hari ini mengesahkan tiada lagi titik panas dikesan di lokasi berkenaan,” jelasnya.
Tindakan Tegas dan Penguatkuasaan JAS
Sebagai langkah kesiapsiagaan, JAS Sabah mempertingkatkan rondaan harian menerusi Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) di kawasan berisiko tinggi dan lokasi berhampiran stesen pengawasan udara.
Setakat ini, sebanyak 519 rondaan OMPT telah dilaksanakan.
JAS turut memperingatkan pemilik tanah atau premis agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan kawasan mereka diceroboh untuk tindakan pembakaran.
- Hukuman Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Seksyen 29A): Denda antara RM25,000 hingga RM1,000,000, atau penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.
- Tindakan Kompaun: Kompaun maksimum sehingga RM500,000 boleh dikenakan atas kesalahan pembakaran terbuka.
Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan status IPU terkini melalui portal APIMS (https://eqms.doe.gov.my/APIMS) atau aplikasi MyJAS EQMS. Sebarang kes pembakaran terbuka atau kebakaran boleh dilaporkan segera kepada JBPM di talian 999 atau talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727.-pr/BNN





