KOTA KINABALU: Rakyat Sabah memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan mempunyai hala tuju jelas bagi meneruskan pembangunan negeri, bukannya kerajaan yang sentiasa dibelenggu percaturan serta perebutan kuasa politik.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Haji Yazid Haji Mohd. Hasnan Tawik @ Charles, berkata kepimpinan Kerajaan Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, perlu diberikan ruang dan peluang untuk meneruskan agenda pembangunan yang dirancang.
Katanya, rakyat kini lebih mengutamakan kestabilan, pembangunan dan penyelesaian masalah kehidupan berbanding melihat ahli politik terus bertelagah mengenai soal kuasa.
“Rakyat mahu kerajaan bekerja. Rakyat mahu jalan raya dibaiki, bekalan air dan elektrik diperkasakan, peluang pekerjaan diwujudkan, ekonomi berkembang dan kebajikan mereka terus dibela. Itu yang sepatutnya menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata pembangunan Sabah perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada projek fizikal, sebaliknya turut merangkumi pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan, pembangunan luar bandar, keusahawanan, pelaburan serta peningkatan taraf hidup rakyat.
“Kita mahu melihat manfaat pembangunan sampai ke seluruh pelosok Sabah, termasuk kawasan luar bandar seperti Bingkor dan daerah-daerah lain yang masih memerlukan perhatian,” katanya.
Dalam masa sama, Haji Yazid berkata perjuangan memperkukuh hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk isu hak kewangan dan tuntutan berkaitan pemberian khas 40 peratus, perlu diteruskan secara konsisten dan berstrategi.
“Perjuangan hak Sabah bukan milik mana-mana parti politik. Ia adalah kepentingan rakyat Sabah. Sebab itu kita mahu kerajaan negeri mempunyai kekuatan dan kestabilan untuk terus berunding serta memperjuangkan hak Sabah dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau menegaskan sokongan terhadap kestabilan kerajaan tidak bermaksud rakyat atau masyarakat sivil perlu menutup mata terhadap kelemahan, sebaliknya teguran dan pandangan membina perlu terus disuarakan demi penambahbaikan.
“Jika ada kelemahan, kita tegur. Jika ada perkara yang perlu diperbaiki, kita suarakan. Tetapi jangan sampai perbezaan pandangan politik menyebabkan pembangunan rakyat menjadi mangsa,” katanya.
Haji Yazid berkata kestabilan politik penting untuk meyakinkan pelabur, mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dan memastikan perancangan kerajaan dapat dilaksanakan secara berterusan.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Sabah menilai usaha kerajaan berdasarkan hasil dan manfaat yang diterima, selain mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan negeri.
“Kita boleh berbeza parti, kita boleh berbeza pandangan, tetapi apabila menyentuh kepentingan Sabah, kita mesti bersatu. Berikan ruang kepada Kerajaan GRS di bawah kepimpinan Hajiji untuk terus bekerja dan membuktikan hasilnya kepada rakyat.
“Yang penting, jangan biarkan percaturan politik mengganggu pembangunan Sabah. Sabah Maju Jaya adalah tanggungjawab kita bersama. Rakyat mahu Sabah yang stabil, maju, makmur dan mempunyai masa depan yang lebih baik,” katanya.pr/BNN





