KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menyokong pendirian tegas Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden PGRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam memperjuangkan penyelesaian tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangan PGRS, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, berkata pendirian yang dibawa Hajiji dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) baru-baru ini jelas mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri memastikan hak Sabah diterjemahkan kepada penyelesaian nyata yang memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, tuntutan 40 peratus bukan perkara baharu dan bukan soal ihsan mana-mana pihak, sebaliknya hak Sabah yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Tuntutan 40 peratus bukan tuntutan baharu dan bukan juga soal ihsan daripada mana-mana pihak. Ia merupakan hak Sabah yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan sewajarnya diselesaikan dengan penuh tanggungjawab, adil serta dalam semangat sebenar pembentukan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nizam berkata, PGRS mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini, yang disifatkannya sebagai perkembangan positif hasil rundingan berterusan antara kedua-dua kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, bayaran interim itu tidak menutup tuntutan 40 peratus yang masih perlu dimuktamadkan seperti ditegaskan Ketua Menteri.

Dalam pada itu, beliau berkata PGRS turut menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat bagi memastikan suara kedua-dua negeri itu mempunyai kedudukan lebih kukuh dalam institusi Parlimen.

“Begitu juga dengan usaha mempercepatkan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan serta perkara-perkara lain yang masih belum diselesaikan di bawah MA63,” katanya.

Menurutnya, semua perkara berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Sabah dalam Persekutuan serta kemampuan negeri menentukan dan mengurus kepentingannya dengan lebih berkesan.

Nizam berkata, PGRS percaya pendekatan Hajiji selama ini jelas, iaitu tegas mempertahankan hak Sabah, namun pada masa sama memilih jalan rundingan, kerjasama dan hubungan kerajaan dengan kerajaan bagi menghasilkan penyelesaian konkrit.

Katanya, pendekatan itu sudah menghasilkan kemajuan dalam beberapa tuntutan MA63 sebelum ini dan perlu diteruskan sehingga perkara yang masih tertangguh dapat diselesaikan sepenuhnya.

“Bagi PGRS, soal hak Sabah mengatasi kepentingan politik kepartian. Apa juga yang menjadi hak negeri dan rakyat Sabah mesti diperjuangkan secara konsisten,” katanya.

Nizam berkata, PGRS menghargai keterbukaan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri untuk meneruskan rundingan mengenai perkara yang masih belum selesai, namun pada masa sama tetap berdiri teguh bersama Ketua Menteri bahawa penyelesaian hak 40 peratus Sabah perlu diberikan keutamaan dan disegerakan.

“Sabah tidak meminta lebih daripada apa yang menjadi haknya. Kita hanya mahu apa yang telah dipersetujui dan diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan dilaksanakan dengan adil, konsisten dan penuh tanggungjawab,” katanya.-pr/BNN