KOTA KINABALU: Perlantikan jurutera kelahiran Sabah, Amarjit Singh ke jawatan tertinggi dalam Jabatan Air Negeri Sabah amat tepat kerana ia bertujuan untuk membaik pulih jabatan itu setelah dicemar dengan kes rasuah antara terbesar di negara pada 2016.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong, Jamawi Jaafar berkata adalah satu proses normal bagi melantik individu baru untuk memperbaiki dan memantau pentadbiran suatu jabatan yang berhadapan dengan masalah pucuk pimpinan. Lebih-lebih lagi apabila pucuk pimpinannya dikaitkan dengan kegiatan rasuah.
“Dengan pembentukan kerajaan baharu di Sabah, tentu ada keperluan untuk memberi kuasa eksekutif kepada kabinet baharu untuk melantik individu-individu ke jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Perlantikan bukan hanya berlandaskan kepada senioriti dalam jabatan kerana ia boleh berdasarkan kepada factor-faktor lain seperti pengalaman dalam sektor swasta. Perlantikan juga dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat kabinet negeri, bukannya parti,” beliau berkata dalam satu kenyataan media hari ini.
Jamawi berkata terdapat kekangan untuk melantik pegawai-pegawai yang sedia ada dalam Jabatan Air Negeri Sabah kerana ramai di antara mereka masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kes dan fail belum ditutup.
Maka dengan itu, ada keperluan untuk mengambil pihak ketiga yang berpengalaman luas dalam bidang kejuruteraan bagi meneruskan banyak kerja-kerja yang tertangguh di Jabatan Air Negeri Sabah.
Katanya, isu bekalan air menjadi isu utama di kebanyakan daerah di Sabah dan rakyat menunggu hasil dan langkah-langkah proaktif yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan baharu dan dalam hal ini, tindakan drastik harus dilakukan.
Amarjit, 48, dilantik sebagai pengarah Jabatan Air Negeri Sabah bermula 10 Ogos untuk memperbaik perjanjian atau kontrak berat sebelah yang dilaksanakan kerajaan terdahulu dalam usaha untuk mengatasi ketirisan.
Selain itu, beliau ditugaskan untuk mengembalikan ketelusan dalam jabatan itu yang mengalami kerugian.
Antara tugas utamanya adalah memastikan isu berkaitan bekalan air di Sabah dapat diatasi melalui langkah komprehensif.-pr/BNN