KOTA KINABALU:Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) menyampaikan sumbangan wang tunai RM200 setiap seorang kepada dua ahlinya, Winston Bewsher dari Tuunon Kolopis, Penampang dan Michelle Bulo dari Taman Sri Kiansom, Inanam, bagi membantu meringankan beban mereka membersihkan rumah selepas dilanda banjir baru-baru ini.
Sumbangan disampaikan oleh Setiausaha Agung SAFVA, Jade Morris, dalam satu majlis ringkas di pawagam Growball, Kota Kinabalu, sejurus selepas tayangan filem Mr Finance arahannya.
Jade berkata, SAFVA akan terus berusaha menjaga kebajikan ahli serta menganjurkan aktiviti pengumpulan dana bagi membolehkan lebih banyak bengkel dan seminar peningkatan kemahiran dianjurkan untuk memperkasakan penggiat industri filem Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atas usaha memperkukuh perlindungan dan kebajikan kru produksi, demi memastikan kesejahteraan tenaga kerja dalam industri perfileman terus diberi perhatian.
Mengulas harapan terhadap Belanjawan 2027 bagi industri kreatif, Jade optimis Sabah akan terus mendapat perhatian kerajaan, termasuk peruntukan yang lebih besar, sejajar dengan perkembangan dan peningkatan aktiviti penerbitan filem di negeri ini.
Sementara itu, Jade merayu orang ramai agar memberikan sokongan kepada filem Mr Finance, karya sulung arahannya yang diterbitkan menggunakan dana sendiri dan kini mula ditayangkan di 35 pawagam di seluruh negara.
“Kelangsungan Mr Finance di pawagam melebihi dua minggu amat bergantung pada sokongan penonton. Saya berharap orang ramai dapat memberikan peluang kepada filem tempatan, khususnya karya anak Sabah, untuk terus berkembang dan mendapat tempat dalam industri perfileman negara,” katanya.
Filem Mr Finance mengangkat kisah cinta yang menyentuh hati, dengan mengetengahkan seorang gadis autisme serta cabaran yang dihadapinya dalam menjalani kehidupan dan membina hubungan dengan orang di sekelilingnya.
Menerusi kisah ini, filem tersebut turut membawa mesej tentang penerimaan, empati dan pemahaman terhadap individu autisme, di samping menampilkan sisi kemanusiaan dalam hubungan sesama insan.-pr/BNN





