KOTA KINABALU: Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) terus memperkukuh peranannya dalam masyarakat menerusi pelbagai inisiatif kebajikan, perkongsian ilmu dan kepakaran serta usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan ahli dan masyarakat.
Presidennya, Dr Aslie Haji Sahat, berkata persatuan itu bukan sekadar menghimpunkan mantan pendidik, sebaliknya menjadi wadah untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat melalui pengalaman, ilmu dan kepakaran yang dikumpulkan sepanjang perkhidmatan dalam bidang pendidikan.
Menurutnya, walaupun sudah bersara, mantan pendidik masih mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat, khususnya menerusi bimbingan kepada pelajar, ibu bapa, pertubuhan masyarakat dan organisasi setempat.
“Walaupun telah bersara daripada perkhidmatan pendidikan, kami percaya ilmu, pengalaman dan semangat untuk berbakti tidak seharusnya terhenti. Sebaliknya, semua itu boleh terus dimanfaatkan demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi PMPS mengadakan kunjungan hormat kepada Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Dato’ Sri Dr Ruddy Awah, di pejabatnya di sini, hari ini.
Dr Aslie berkata, antara keutamaan PMPS ialah memastikan kebajikan ahli terus diberikan perhatian, khususnya melalui lawatan kepada ahli yang sakit bagi memberikan sokongan moral serta sumbangan sebagai tanda keprihatinan.
Selain itu, katanya, PMPS turut menyediakan khairat kematian sebanyak RM500 kepada keluarga ahli yang meninggal dunia bagi membantu meringankan beban mereka ketika menghadapi kehilangan insan tersayang.
Dalam aspek perkongsian kepakaran, beliau berkata mantan pendidik boleh membantu meningkatkan kecekapan pentadbiran organisasi melalui bimbingan berkaitan perancangan program, pengurusan mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, penulisan surat rasmi dan pengurusan fail secara sistematik.
Katanya, PMPS berhasrat memperluas perkongsian ilmu dan pengalaman berkenaan supaya terus memberi manfaat kepada generasi muda, di samping memainkan peranan sebagai duta kecil Sabah dengan membawa imej positif negeri menerusi hubungan kemasyarakatan dan penglibatan dalam program kesejahteraan rakyat.
Kunjungan delegasi lapan anggota yang turut disertai barisan Jawatankuasa Tertinggi PMPS itu bertujuan memperkenalkan peranan serta hala tuju persatuan kepada kepimpinan negeri, selain membuka ruang untuk mempererat hubungan dan memperluas sumbangan mantan pendidik kepada pembangunan masyarakat Sabah.-pr/BNN





