TENOM: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah menyambut baik seruan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor supaya lima pendekatan utama dilaksanakan bagi menangani cabaran dihadapi peladang, penternak dan nelayan, sekali gus memperkukuh sektor agromakanan negeri.
Pengerusinya, Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata pendekatan berkenaan penting dalam memastikan golongan pengusaha mendapat sokongan bersesuaian, selain meningkatkan produktiviti, pendapatan dan daya saing sektor pertanian, penternakan serta perikanan di Sabah.
Beliau berkata, penekanan terhadap pengukuhan bantuan, penambahbaikan infrastruktur, penggunaan teknologi moden, peluasan akses pasaran dan rantaian bekalan serta peningkatan daya tahan terhadap perubahan iklim perlu diberi perhatian bagi memastikan pembangunan sektor berkenaan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Katanya, usaha itu juga perlu mengambil kira cabaran sebenar yang dihadapi pengusaha, termasuk peningkatan kos input pertanian, makanan ternakan, benih, bahan api dan peralatan, selain kekangan kemudahan penyimpanan, pengangkutan hasil serta akses kepada pembiayaan.
Mohd Nazri berkata, seruan Ketua Menteri supaya kementerian, jabatan dan agensi berkaitan turun padang mendengar masalah pengusaha amat penting bagi memastikan bantuan serta program yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan golongan sasaran.
Beliau turut menyambut baik komitmen kerajaan negeri meningkatkan kadar sara diri (SSR) padi dan beras Sabah daripada 22 peratus kepada 40 peratus menjelang 2030, sebagai langkah memperkukuh keterjaminan makanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan dari luar.
Katanya, usaha meningkatkan pengeluaran makanan tempatan perlu disokong dengan pembangunan infrastruktur, penggunaan teknologi, pembangunan modal insan serta pengukuhan akses pasaran bagi membolehkan sektor agromakanan berkembang dengan lebih moden, cekap dan produktif.
Beliau berkata, tumpuan terhadap peningkatan pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan, daging, telur, ikan dan produk makanan lain yang mendapat permintaan tinggi turut penting dalam memenuhi keperluan rakyat serta memperkukuh keupayaan pengeluaran makanan negeri.
Mohd Nazri berkata, hala tuju pembangunan pertanian menerusi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 juga perlu dimanfaatkan untuk memperluas peluang ekonomi kepada pengusaha, khususnya di kawasan luar bandar.
Katanya, usaha menggalakkan penyertaan golongan belia dalam sektor agromakanan serta memperluas penggunaan teknologi moden, inovasi dan digitalisasi mampu membantu meningkatkan produktiviti dan membuka peluang pekerjaan baharu.
Beliau berharap kerjasama berterusan antara kerajaan, agensi berkaitan dan organisasi peladang dapat memperkukuh sektor agromakanan Sabah, di samping meningkatkan pendapatan pengusaha serta menjamin bekalan makanan yang lebih stabil kepada rakyat.-pr/BNN





