GUANGZHOU: Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah memeterai lima memorandum persefahaman (MoU) dengan lima dewan perniagaan China bagi memperkukuh kerjasama perdagangan, pelaburan dan hubungan ekonomi antara kedua-dua pihak.
MoU berkenaan turut merangkumi peluang kerjasama perdagangan ginseng, sekali gus membuka ruang baharu kepada komuniti perniagaan Sabah meneroka pasaran China.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, manakala Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau, mewakili pihak dewan berkenaan.
Lima dewan perniagaan China terbabit ialah Dewan Perniagaan Cina Perantauan Guangzhou, Dewan Perniagaan Perusahaan Keluar Guangzhou, Dewan Perniagaan Xingtai, Dewan Perniagaan Perdagangan Asia Timur Laut Jilin dan Dewan Perniagaan Ginseng Jilin.
Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju mempergiat kerjasama perdagangan dan pelaburan, memperkukuh hubungan komuniti perniagaan serta meneroka peluang perniagaan rentas sempadan.
Majlis berkenaan diadakan bersempena Majlis Makan Malam Jaringan Malaysia-China Guangzhou yang menghimpunkan kira-kira 500 usahawan Malaysia dan China bagi meneroka peluang kerjasama serta memperluas jaringan perniagaan.
Dalam ucapannya, Jamawi memuji usaha MCCC Sabah di bawah kepimpinan Dexter dalam memperkukuh hubungan perniagaan Malaysia-China, selain membantu perusahaan Sabah meneroka peluang dalam pasaran negara itu.
Beliau berharap MCCC Sabah terus bekerjasama dengan kementeriannya (MAFFI) dan agensi kerajaan berkaitan bagi memudah cara padanan perniagaan, menarik pelaburan serta membangunkan kerjasama jangka panjang dalam sektor pertanian, perikanan dan industri makanan.
Katanya, lawatan berkenaan diharap dapat menghasilkan peluang perdagangan baharu, memperluas akses pasaran, memudah cara pemindahan teknologi serta menarik pelaburan yang memberi manfaat kepada Sabah dan China.
Sementara itu, Dexter berkata, lawatan delegasi perniagaan Sabah ke Guangzhou memberi tumpuan kepada sektor pertanian, perikanan, pemprosesan makanan dan teknologi moden.
Beliau berkata, lawatan itu bertujuan memahami perkembangan teknologi China dalam sektor berkenaan, selain mengenal pasti peluang baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan.
Beliau yakin pemeteraian MoU serta pertukaran perniagaan itu dapat memperkukuh hubungan komuniti perniagaan Sabah-China dan membuka laluan kepada pelaksanaan lebih banyak projek kerjasama yang berdaya maju.-pr/BNN





