KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menggesa semua kementerian, jabatan, badan berkanun dan agensi di bawah Kerajaan Negeri memberikan kerjasama penuh dalam penyelarasan data serta pelaksanaan program pembasmian kemiskinan bagi memastikan bantuan disalurkan secara lebih tersusun dan bersasar.

Beliau berkata, antara cabaran yang masih dihadapi ialah terdapat kementerian, jabatan dan agensi melaksanakan program pembasmian kemiskinan mengikut perancangan masing-masing tanpa penyelarasan mencukupi.

Katanya, setiap agensi mempunyai mandat penting, namun rakyat tidak sepatutnya terbeban dengan urusan birokrasi berulang dan maklumat bantuan yang tidak selaras.

“Tanggungjawab penyelarasan ini juga telah saya mandatkan kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk menyelaras agenda pembasmian kemiskinan negeri.

Namun demikian, kerjasama menyeluruh daripada semua agensi masih perlu dipertingkatkan, khususnya membabitkan perkongsian data penerima, maklumat bantuan yang telah disalurkan dan pelaporan keberhasilan intervensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Kesejahteraan dan Transformasi Rakyat (KESTRA) 2026, inisiatif Pelan Pembangunan SMJ 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji berkata, kejayaan menoktahkan status miskin tegar bagi 22,510 Ketua Isi Rumah (KIR) yang dikenal pasti sebagai angka locked figure (LF) bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah 2023 membuktikan keberkesanan kerjasama dan penglibatan semua pihak.

Katanya, angka berkenaan berjaya dinoktahkan pada 31 Julai 2024, iaitu dalam tempoh kurang setahun hasil kerjasama agensi dari segi perkongsian data, pengesahan di lapangan, penyelarasan bantuan dan pelaksanaan intervensi bersesuaian.

Beliau berkata, kejayaan itu membabitkan 22,510 KIR yang merangkumi 94,315 ahli isi rumah, menjadikan keseluruhan 116,825 individu yang berkaitan dengan isi rumah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, sifar miskin tegar tidak bermakna semua keluarga terbabit secara automatik telah keluar daripada kemiskinan kerana status sosioekonomi isi rumah boleh berubah disebabkan kehilangan pekerjaan, penyakit, pertambahan tanggungan, bencana atau perubahan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Sehubungan itu, beliau berkata, pelantikan Sekretariat SMJ sebagai penyelaras bukan bertujuan mengambil alih mandat kementerian atau agensi, sebaliknya memastikan setiap program diselaraskan dan impak pelaksanaannya dapat dikenal pasti.

Katanya, kaedah penyimpanan dan penyelarasan data di setiap agensi perlu dipertingkatkan supaya penyebaran, persembahan serta penggunaan data selari di semua peringkat.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan memperkukuh penggunaan data eKasih dan Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) sebagai data rujukan rasmi bagi mengesan pertindihan bantuan, kekosongan liputan serta tindakan susulan kepada setiap isi rumah.

Katanya, Program MySMJ Profiling yang menempatkan pegawai di setiap 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melaksanakan pengesahan data kemiskinan di lapangan juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya, untuk memahami latar belakang keluarga, kemampuan bekerja, keperluan latihan dan perubahan status sosioekonomi.

“Kita mahu keputusan dibuat berdasarkan keadaan sebenar di lapangan, bukan andaian semata- mata. Saya menyeru semua kementerian dan agensi mengutamakan penyelarasan, perkongsian maklumat dan pelaporan yang konsisten kerana agenda pembasmian kemiskinan ialah tanggungjawab bersama,” katanya.

Hajiji berkata, setakat ini, sebanyak 54 agensi pemberi bantuan daripada Kerajaan Negeri, Persekutuan dan pemain industri terbabit dalam 134 intervensi bantuan yang merangkumi lima teras Program Menoktahkan Miskin Tegar, iaitu perumahan, pendidikan, pekerjaan, kebajikan dan kewangan serta keusahawanan dan latihan.

Bagaimanapun, katanya, jumlah program yang banyak tidak semestinya bermakna hasil yang dicapai juga besar. Begitu juga dengan angka peruntukan dan jumlah bantuan belum cukup untuk membuktikan kejayaan sebenar.

“Jika kita hanya melaporkan bilangan bantuan, bilangan majlis penyerahan atau jumlah peruntukan, kita belum menjawab persoalan yang lebih besar, iaitu berapa ramai yang betul-betul telah keluar daripada kitaran kemiskinan. Rakyat tidak hidup dengan statistik program, sebaliknya mereka memerlukan pendapatan, makanan, tempat tinggal, pendidikan dan harapan untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mempunyai bukti hasil yang boleh disemak mengenai jumlah rakyat yang berjaya keluar daripada kemiskinan, bukan sekadar bergantung kepada statistik pelaksanaan program.

Dalam hubungan itu, katanya, pembangunan kerangka penilaian kemiskinan negeri yang mengambil kira realiti dan keperluan rakyat Sabah juga perlu diperkukuh.

Beliau berkata, berdasarkan statistik rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kemiskinan mutlak Sabah menurun daripada 19.7 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus pada 2024, manakala kemiskinan tegar berkurangan daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus.

Bagaimanapun, Sabah masih mencatatkan kadar kemiskinan melebihi paras nasional dan tertinggi berbanding negeri lain.

Sehubungan itu, beliau mahu 13 indikator tambahan miskin tegar Sabah yang dipersetujui pada 2023 dimanfaatkan sebagai instrumen penilaian dan pemprofilan bagi mengenal pasti punca sebenar kemiskinan setiap keluarga, menentukan intervensi bersesuaian serta memantau perubahan keadaan mereka dari semasa ke semasa.

Hajiji berkata, semua dapatan dan cadangan daripada simposium itu perlu digabungkan menjadi pelan tindakan praktikal untuk pertimbangan Kerajaan Negeri dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi memastikan tindakan susulan yang jelas.-pr/BNN