KOTA KINABALU: Tiada sekolah yang daif daripada prasarana ilmu dan rumah ibadat yang terpinggir daripada sokongan pembangunan kerajaan, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri memastikan bantuan disalurkan secara adil dan saksama kepada semua masyarakat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendidikan, menyokong institusi masyarakat serta memastikan pembangunan negeri memberi manfaat kepada semua, tanpa mengira kaum dan agama.

“Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam Tahun 2026 pada hari ini bukan sebuah majlis bermusim. Ini adalah tanggungjawab hakiki dan manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras pentadbiran kerajaan negeri hari ini.

“Kita mahu memastikan tiada sekolah yang daif daripada prasarana ilmu, dan tiada rumah ibadat yang terpinggir daripada menerima sokongan pembangunan daripada kerajaan,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam di The Pacific Sutera Harbour Resort, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Hajiji berkata, kerajaan negeri meningkatkan peruntukan bantuan berkenaan sebanyak RM20 juta, daripada RM70 juta pada 2025 kepada RM90 juta tahun ini, sebagai manifestasi komitmen memberikan perhatian lebih besar kepada keperluan sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah.

Katanya, peningkatan peruntukan itu juga mencerminkan komitmen kerajaan memastikan akses kepada pendidikan lebih baik, selain membantu penyelenggaraan bangunan, aktiviti pembelajaran dan pengoperasian badan keagamaan demi keselesaan bersama.

Beliau berkata, bagi tahun ini, Kementerian Kewangan menerima sebanyak 339 permohonan bantuan daripada sekolah dengan jumlah keseluruhan peruntukan dipohon RM107.27 juta, membabitkan lima kategori sekolah yang dibenarkan.

Daripada jumlah itu, RM40 juta diluluskan untuk disalurkan kepada 320 sekolah yang memenuhi syarat permohonan.

“Manakala, sebanyak 1,810 permohonan bantuan daripada tokong, kuil dan pelbagai denominasi gereja di Sabah diterima tahun ini, dengan jumlah peruntukan dipohon mencecah RM235.30 juta. Daripada jumlah berkenaan, RM50 juta disalurkan kepada 1,761 buah badan keagamaan bukan Islam”, katanya.

Hajiji berkata, kerajaan memahami keperluan di peringkat akar umbi jauh lebih besar daripada peruntukan yang ada, namun bantuan disediakan berdasarkan keutamaan, keperluan dan kemampuan kewangan kerajaan supaya dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

“Apabila kemampuan kewangan kerajaan mengizinkan, kita akan terus berusaha meningkatkan sokongan dan bantuan kepada rakyat serta institusi yang memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan Sabah pada masa hadapan bergantung kepada kualiti generasi muda, manakala pelbagai perancangan pembangunan negeri memerlukan modal insan yang berdaya saing, berilmu dan berkemahiran.

Katanya, pendidikan akan terus menjadi antara keutamaan kerajaan bagi memastikan anak-anak Sabah mendapat peluang lebih baik untuk belajar, berkembang dan mencapai cita-cita.

“Kita tidak mahu anak-anak kita dan generasi sekarang hanya menjadi penonton kepada pembangunan negeri. Kita mahu mereka menjadi generasi yang akan memimpin dan menentukan masa depan Sabah,” katanya.

Menurutnya, pengiktirafan kerajaan negeri terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) membuka peluang lebih luas kepada pemegang sijil berkenaan untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri Sabah, selain memberi peluang kepada mereka memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.

Katanya, langkah itu mencerminkan keterbukaan dan keyakinan kerajaan terhadap kepelbagaian aliran pendidikan yang wujud di negeri ini, dengan matlamat melahirkan modal insan berkualiti, berilmu pengetahuan, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Sabah.

Hajiji berkata, kerajaan akan terus mempertahankan keharmonian yang menjadi kekuatan masyarakat Sabah, dengan kepelbagaian kaum, agama dan tradisi bukan titik perpecahan, sebaliknya nadi kekuatan yang mengukuhkan perpaduan.

Beliau berkata, semangat saling menghormati dan bermuafakat perlu terus dipelihara bagi memastikan Sabah kekal sebagai negeri yang maju, stabil, harmoni serta memberikan ruang dan peluang kepada semua.

Katanya, kerajaan negeri juga akan terus berusaha memastikan semua kaum, tanpa mengira warna kulit dan fahaman agama, mendapat pembelaan yang adil dan saksama, selain sentiasa menyokong institusi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan yang memerlukan bantuan.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendidikan, menyokong institusi masyarakat, menjaga keharmonian dan memastikan pembangunan negeri memberi manfaat kepada semua”, katanya.-pr/BNN