KOTA KINABALU: Penugasan Angkatan Tentera Darat di bahagian timur Sabah akan diselaraskan bagi mengelak pertindihan tugas.
Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain berkata penyelarasan itu akan diperincikan di antara agensi-agensi terlibat.
“Di bahagian Timur Sabah ada pelbagai agensi keselamatan, tetapi ia tidak didefinasikan dengan betul.”
“Jadi, kita akan cuba buat penugasan lebih terperinci supaya tiga operasi berasingan iaitu Operasi Esscom, Operasi Persisiran Pantai dan Operasi Pasir Utara dan Selatan tidak mendatangkan sebarang salah faham di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Esscom dan ATM.”
“Sebenarnya tiada masalah (petugasan) pada masa sekarang, cuma kita mahu penambahbaikan supaya dapat mengelak dari berlaku kecelaruan tugasan,” jelas beliau.
Tambah Zamrose, terdapat perancangan untuk menambah rondaan kawalan persempadanan di Kalimantan, walau bagaimanapun ia perlu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan ( GBC) oleh Menteri Pertahanan Malaysia dan Menteri Pertahanan Indonesia.
Zamrose ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di sini, pada Isnin. .
Kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan Shafie mengenai perlantikannya berkuatkuasa 2 November lalu mengantikan Datuk Stephen Mundaw yang bersara wajib.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut adalah Panglima Briged Kelima Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima 13 Briged ESSCOM, Brigedier Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Panglima Angkatan Petugas 450, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah.-Penerangan/BNN