TYT hadir MRT Tahun Baru Cina Negeri

0
162
Dewa Kekayaan (kanan) turut menyampaikan cendera kenangan kepada Shafie (kiri) sambil disaksikan Tun Juhar (tengah).

KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Dipertua Negeri (TYT) Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah Datuk RM Jasni menghadiri Majlis Rumah Terbuka (MRT) Tahun Baru Cina peringkat negeri di Dewan Hakka, Teluk Likas, di sini, pada Selasa.

Sejurus ketibaan rombongan Tun Juhar dan Toh Puan Norlidah yang berpakaian serba merah, mereka disambut dengan persembahan tarian sambut tamu daripada Gabungan Persatuan Tarian Singa Sabah dan membakar mercun sebagai simbolik perasmian majlis.

Pada majlis tersebut Tun Juhar dan Toh Puan Norlida serta Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Datuk Shuaib turut menyampaikan ‘Ang Pau’ dan cenderahati kepada dua puluh puluh anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Anak-anak Yatim As-Sakinah Papar dan Pusat Kebajikan Care Haven serta dua puluh warga emas dari Elderly Association Sabah.

Majlis julung kali dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Gabungan Persatuan Cina Sabah berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih lima ribu pengunjung terdiri daripada masyarakat setempat dan juga pelancong dari dalam dan luar negara.

Tetamu yang hadir disajikan dengan persembahan hiburan daripada artis-artis tempatan serta pelbagai juadah sempena sambutan Tahun Baru Cina.

MRT Tahun Baru Cina diserikan lagi dengan kehadiran Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Syed Abas Syed Ali, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Penganjur Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Negeri 2019, Datuk Christina Liew, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hashim Paijan, Setiausaha Persekutuan Sabah, Nor Azri Zulfakar, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman dan Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah, Tan Sri Dr TC Goh.-Penerangan/BNN