60 pemimpin masyarakat sertai seminar penggunaan elektrik

0
Kenangan.....60 orang pemimpin masyarakat merakamkan gambar kenangan selepas Seminar Keselamatan Elektrik dan Gas Serta Kecekapan Tenaga anjuran Pejabat Kawasan Suruhanjaya Tenaga Pantai Barat Sabah di Sipitang.

SIPITANG: Sebanyak 60 orang pemimpin masyarakat menyertai Seminar Keselamatan Elektrik dan Gas Serta Kecekapan Tenaga anjuran Pejabat Kawasan Suruhanjaya Tenaga Pantai Barat Sabah di sini baru-baru ini.

Pada seminar yang dirasmikan oleh Penolong Pegawai Daerah Sipitang, Nurasid Samat para peserta didedahkan dengan pelbagai maklumat dan pengetahuan mengenai isu-isu berkaitan dengan penggunaan elektrik.

Para peserta terdiri daripada wakil-wakil jabatan, ketua-ketua kampung, pengerusi-pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) dan pemimpin-pemimpin masyarakat di daerah Sipitang.

Antara lain peserta didedahkan dengan pengetahuan berkaitan kepentingan alat perlindungan peranti arus baki dan amalan keselamatan pepasangan gas domestik serta dobi-dobi layan diri, amalan penjimatan tenaga di rumah serta keselamatan penggunaan elektrik.

Pengarah Kawasan Suruhanjaya Tenaga Pantai Barat Sabah, Jefrey Nuri berkata, melalui seminar seperti itu para peserta diharapkan dapat berkongsi ilmu dan pengetahuan yang diterima kepada saudara mara, rakan-rakan, jiran-jiran dan orang di sekeliling untuk kebaikan dan manfaat bersama.

“Objektif utama seminar ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan peserta tentang bahaya elektrik dan gas serta untuk berkongsi amalan-amalan penjimatan tenaga elektrik di rumah. Selain itu, seminar ini juga bertujuan untuk memaklumkan dan menghebahkan informasi terkini berkaitan dengan organisasi, peranan dan tanggungjawab Suruhanjaya Tenaga,” katanya.

Seminar seperti itu akan diteruskan pada masa akan datang di daerah-daerah lain di Pantai Barat Sabah untuk memberikan peluang kepada lebih ramai orang awam mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan dengan keselamatan elektrik dan gas serta kecekapan tenaga.-pr/BNN