KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan hari ini membidas tindakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Dato Salahuddin Ayub melantik 2 orang Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) menyandang jawatan Pegawai Pembangunan Peladang Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Sabah.
Ahli Jemaah Pengarah PPK Putatan, Encik Muhamad Haji Said berkata, kedua-dua individu yang dilantik itu tidak memiliki sebarang pengalaman sebagai Pegawai Pembangunan Peladang memandangkan mereka baru sahaja dilantik oleh Menteri MOA sebagai AJP PPK.
Encik Abu Huzaifah Kamal adalah AJP PPK Tuaran, sementara , Encik Addy Samsudin yanh berasal dari Kalabakan adalah AJP lantikan Menteri di PPK Putatan.
Muhamad yakin, perlantikan kedua-dua individu tersebut bukan berdasarkan meritokrasi, tetapi lebih kepada status mereka sebagai ahli parti Amanah Negara.
“Menteri MOA perlu memberi penjelasan kepada ahli-ahli peladang dan PPN yang juga pemegang saham Nafas berhubung perlantikan pegawai tersebut yang kini memegang dua jawatan, iaitu sebagai AJP PPK dan Pegawai Pembangunan Peladang Nafas di Sabah”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan AJP PPN Sabah, Haji Abdul Rahim Oting yang mendedahkan 2 orang AJP PPK di negeri ini telah dilantik oleh Menteri MOA sebagai Pegawai Pembangunan Peladang Nafas untuk Sabah.
Muhamad berkata, beliau tidak hairan sekiranya lebih ramai AJP PPK yang telah dilantik oleh Menteri MOA akan turut dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Peladang Nafas di lain lain Negeri di Malaysia dan di Daerah lain di sabah.
“Adakah ini cara yang digunakan oleh Menteri MOA yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah untuk memberi jawatan lantikan politik kepada ahli-ahli parti Amanah di Sabah dan Negeri Negeri Lain ? Sekiranya ini berlaku, ia amat malang bagi PPK, PPN dan Nafas.
“Ini kerana PPK yang terpaksa menanggung elaun AJP mereka dan Nafas pula menanggung gaji bulanan pegawai tersebut yang dilantik kerana politik”, tambahnya. Akibatnya akan jadi muflis pertubuhan peladang.
Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana Menteri MOA sanggup menggunakan PPK dan Nafas untuk kepentingan politik semata-mata.-pr/BNN