KUALA LUMPUR: Seorang suspek dari utara Semenanjung ditahan minggu lalu bagi membantu siasatan kes kehilangan Pastor Raymond Koh yang masuk hari ke-101 hari ini, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Ketua polis negara sekali lagi menafikan polis tidak serius dalam kes kehilangan Koh, memandangkan siasatan masih diteruskan walaupun selepas lebih 3 bulan kehilangannya di Petaling Jaya Februari lalu.
“Itu (tuduhan polis hentikan siasatan) tidak benar. Tidak ada kes yang ditutup begitu sahaja. Sudah semestinya kita lakukan siasatan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
“Minggu lepas kita ambil suspek dari Utara tanah air yang kami percaya dapat membantu siasatan.”
Khalid enggan mengulas lanjut mengenai suspek yang ditahan itu.
Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Feb lalu.
Ketika itu, Koh dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya. Video insiden itu menunjukkan lebih daripada 10 lelaki dan 7 buah kenderaan terlibat dalam kejadian yang berlaku di siang hari.
Keluarga Koh menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sebarang maklumat.
Sehingga kini, masih tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi dengan penculik, memberi gambaran yang wang bukan motif penculikan itu.
Polis siasat dakwaan murtad
Khalid berkata, pihaknya bukan hanya menyiasat kehilangan Koh, sebaliknya turut menyiasat laporan yang mengaitkan beliau terlibat dalam memurtadkan penganut agama Islam.
“Dalam kita mahu mengetahui sebab kehilangannya, kita juga siasat laporan yang dibuat bahawa dia (Koh) memurtadkan orang Islam. Kedua-dua laporan ini kita siasat.
“Jadi, tidak adil pula jika kita hanya siasat kehilangan Raymond sahaja Kita juga siasat sama ada kehilangan dia mempunyai kaitan dengan aktiviti memurtadkan orang Islam,” katanya.
Sementara itu, Khalid menjelaskan 3 orang aktivis yang melakukan tuduhan kononnya pihak berkuasa terbabit dalam kehilangan Raymond dipanggil memberikan keterangan.
“Aktivis ini menuduh pihak berkuasa terlibat, jadi kita hendak tahu apa bukti yang mereka ada. Kalau ada bukti, marilah. Jangan hanya main tuduh kerana ini tuduhan serius,” katanya.
Tiga aktivis yang dimaksudkan adalah Thomas Fann, Sevan Doraisamy dan Rama Ramanathan, yang merupakan sebahagian daripada Citizen Action Group On Enforced Disappearance (Caged) yang ditubuhkan awal bulan lalu.
Mereka disiasat bawah Seksyen 504B Kanun Keseksaan. SOURCE BY FMT.