PAPAR : Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Papar hari ini meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Dato Salahuddin Ayub, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memberi penjelasan berhubungan perlantikan seramai 28 orang Pegawai Pembangunan Peladang Nafas untuk negeri-negeri di Malaysia.
Pengerusinya, Encik Fredolin Jominoh berkata beliau mengetahui perlantikan itu menerusi laman sosial (FB) yang menghebahkan satu majlis di Kuala Lumpur yang berkaitan pegawai yang dilantik itu.
“Kita difahamkan Menteri MOA telah menggunakan kuasanya melantik Pegawai Pembangunan Peladang Nafas untuk negeri-negeri seluruh Malaysia.
“Setiap negeri akan mendapat 2 Pegawai Pembangunan Peladang Nafas. Kita ada 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), ini bererti seramai 28 orang telah dilantik ke jawatan ini.
“Kita difahamkan bahawa mereka yang dilantik itu adalah ahli Parti Amanah kerana jawatan Pegawai Pembangunan Peladang Nafas adalah jawatan lantikan politik”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, selain Menteri MOA, Pengerusi LPP Datuk Mazlan Aliman, Pengerusi Nafas, Datuk Pharolrazi dan Pengurus Besar Nafas, Encik Ahmad Shaari perlu memberi penjelasan kepada ahli-ahli peladang mengenai perlantikan tersebut.
Fredolin berkata, penjelasan ini penting kerana ahli ahli peladang seramai hampir satu juta orang di seluruh Malaysia adalah pemegang saham kepada ‘PERTUBUHAN PELADANG” (PP) dan adalah menjadi kewajipan MOA, LPP dan Nafas untuk memaklumkan perkara itu.
“Sebagai pemegang saham kepada Pertubuhan Peladang, kami minta Menteri MOA, Pengerusi LPP, Pengerusi NAFAS dan Pengurus Besar NAFAS menjelaskan kenapa duit kami sebagai pemegang saham Nafas sesuka hati dibelanjakan?
“Berdasarkan peraturan sedia ada yang dikuatkuasakan, apa juga perbelanjaan oleh pihak pengurusan PP mestilah mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Agong dan perlu dimasukkan sebagai perbelanjaan tahun semasa”, tegas Fredolin.
Katanya, Salahuddin, Ayub, Mazlan Aliman, Pharolrazi dan Ahmad Shaari perlu memberi penjelasan, sekiranya perlantikan itu tidak benar.
“Ahli-ahli peladang menuntut jawaban dan juga jastifikasi perlantikan 28 orang Pegawai Pembangunan Peladang Nafas, kerana wang mereka yang digunakan untuk membayar gaji-gaji pegawai lantikan politik tersebut”, tegasnya.-pr/BNN