Menteri MOA diingat tidak jadikan PP platform bagi jawatan politik kepada ahli Amanah

0
972
Alban Mansali

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Dato Salahuddin Ayub diingatkan agar tidak menjadikan Pertubuhan Peladang (PP) sebagai tempat untuk mengisi jawatan lantikan politik kepada ahli-ahli parti politik yang beliau terajui.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Penampang, Encik Alban Mansali berkata, PP adalah sebuah koperasi atau pertubuhan yang dimiliki oleh ahli-ahli peladang sepenuhnya selaku pemegang saham.

“PP sama ada PPK, PP Negeri atau Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bukan Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC). Kerajaan, termasuk MOA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) tidak memiliki apa-apa saham dalam PP.

“Justeru, Menteri MOA diingatkan agar tidak menjadikan PP sebagai tempat kepada beliau melantik ahli-ahli Parti Amanah bagi mengisi jawatan-jawatan lantik politik.

“Ini kerana pengisian jawatan lantikan politik dibawah kuasa Menteri MOA seperti Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di PPK dan PPN serta Pegawai Pembangunan Peladang di Nafas, ianya melibatkan kos dan kewangan yang perlu ditanggung sendiri oleh PP dan bukan Kerajaan atau MOA.

“Justeru saya menggesa Menteri MOA agar jangan jadikan PP sebagai platform untuk memberi jawatan lantikan politik kepada ahli-ahli parti Amanah.

“Sekiranya beliau mahu berbuat demikian, maka lantikan ahli-ahli parti Amanah di mana-mana GLS milik penuh kerajaan, tetapi bukan di PP yang dimiliki secara mutlak oleh ahli-ahli peladang”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alban berkata, Menteri MOA tidak wajar mengambil kesempatan keatas PP untuk memberi anugerah jawatan lantikan politik kepada ahli parti Amanah.

“Tindakan Menteri MOA yang sewenang-wenang menggunakan PP untuk kepentingan politik parti Amanah hanya akan dikecam oleh rakyat terutama ahli-ahli peladang seluruh negara”, tambahnya.-pr/BNN