PITAS: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Salahuddih Ayub masih belum faham status Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai sebuah pertubuhan yang dimiliki sepenuhnya oleh ahli-ahli peladang, kata Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas, Sabah, Encik Mukram Haji Dakulah (gambar).

Katanya, NAFAS yang ditubuhkan dibawah 109 Akta Pertubuhan Peladang (PP) adalah milik mutlak ahli-ahli peladang melalui saham mereka di Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan PPK.

Beliau berkata, NAFAS bukan sebuah agensi atau jabatan dibawah MOA, walaupun Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) adalah Pendaftar PP.

“MOA atau LPP tidak memiliki sebarang saham dalam NAFAS, PPN dan PPK. Menteri MOA sepatutnya sedar dan jelas mengenai perkara ini” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Salahuddin di George Town pada Jumaat yang menyatakan bahawa NAFAS adalah badan yang ditadbir dan dikendalikan langsung oleh kementeriannya.

Mukram berkata, berdasarkan kenyataan itu, jelas dan nyata Salahuddin menganggap bahawa NAFAS adalah sebuah agensi MOA.

“Beliau seakan-akan tidak tahu dan tidak dapat membezakan bahawa status NAFAS adalah PP ( Persatuan Peladang )yang dimiliki oleh hampir Satu juta ahli peladang dan bukannya agensi atau syarikat pelabur kerajaan (GLC).

“Mungkin disebabkan kurang faham dengan status NAFAS, sebab itulah Menteri MOA telah mengambil kesempatan melantik ahli-ahli Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai AJP dalam NAFAS, PPN dan PPK”, tegasnya.

Beliau meminta Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad menilai sendiri kualiti dan kemampuan menteri berkenaan.-pr/BNN