BEAUFORT: Golongan Belia hari ini tidak terkecuali daripada terdedah dengan risiko yang boleh membinasakan diri mereka, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Encik Matbali Musah.
Beliau mengambil contoh, pengaruh dadah, hubungan dan pergaulan bebas akan mendedahkan golongan belia dengan anasir negatif yang boleh merosakkan masa depan mereka.
“Program Anak Muda Wawasan Lestari (AMWAL) yang dianjurkan oleh Pejabat Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Persekutuan dapat membantu golongan belia untuk lebih memahami cabaran dan risiko yang bakal mereka hadapi.
“Saya menyokong penganjuran Program AMWAL yang tidak bersifar “racist” kerana belia tanpa mengira agama dan bangsa dilibatkan bersama”, katanya.
Matbali berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program AMWAL peringkat bahagian Beaufort di Pusat Luar Hutan Paya Gambut, Klias pada Selasa.
Program itu disertai oleh seramai 40 peserta terdiri daripada anak-anak muda berumur 15 hingga 30 tahun yang berada dalam kawasan bahagian Beaufort.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Mohd.Soufi Mohd.Ibrahim, Pegawai JBS(P) Bahagian Beaufort, Cik Nyuk Yin Tseu dan Pengerusi Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah Beaufort, Encik Mazlan Joehari Manan.
Matbali berkata, anak-anak muda sebagai pewaris dan peneraju masa depan negara perlu dilengkapi dengan ilmu dan pengetahuan yang dapat membina jati diri mereka.
Beliau turut memuji kerjasama dan komitmen jabatan dan agensi kerajaan di Beafort yang turut sama menjayakan program AMWAL.
Antara jabatan dan agensi itu ialah Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Parol dan Perkhidmatan Komuniti Bahagian Beaufort, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah.
“Saya berharap pejabat JBS(P) bahagian Beaufort akan terus menganjurkan program seumpama ini di masa akan datang, demi masa depan anak muda kita”.
“Bantulah anak muda yang terdedah dengan risiko di bahagian pedalaman bawah ini. Peganglah tangan mereka dengan bantuan dan kerjasama padu daripada jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)”, tegasnya.-pr/BNN