BANDAR SERI BEGAWAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam Ke-27 (ALC-27) di Istana Nurul Iman di sini pada Sabtu.

Ketua Menteri turut menghadiri mesyuarat pra-majlis ALC-27 di Hotel Empire yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada Jumaat.

Turut bersama Hajiji ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Mengiringi Ketua Menteri dari Sabah ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Arifin Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Negeri Datuk Awang Shahminan Sahari.

Selepas ALC-27, pertemuan empat mata diadakan antara Anwar dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah Muiz’zaddin Wad’daulah.

Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Instrumen Dua Hala turut ditandatangani, diikuti dengan jamuan tengah hari rasmi bagi meraikan Perdana Menteri.-pr/BNN