PITAS : Kad Laporan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) 2019 hanya retorik semata-mata, kata Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPK Pitas Encik Mukram Hj Dakulah
Katanya, walaupun kad laporan itu menggambar prestasi yang politif, tetapi ia bukan pencapaian dan prestasi sebenar Menteri MOA, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
“Setelah meneliti laporan tersebut, jelas ianya merupakan retorik yang bertujuan menutupi kelemahan dan prestasi Menteri MOA.
“Rakyat khususnya masyarakat tani mengetahui tiada pencapaian yang boleh dibanggakan yang telah berjaya dilakukan oleh Menteri MOA sepanjang tahun 2019.
“Tiada inisiatif baharu yang berjaya diketengahkan oleh beliau setelah memegang jawatan itu lebih setahun”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas Kad Laporan Menteri MOA 2019 bagi memaklumkan kepada rakyat Malaysia mengenai inisiatif dan pencapaian Salahuddin sepanjang tahun 2019.
MOA pada 16 Disember 2019 telah mengeluarkan Kad Laporan Menteri MOA 2019.
Encik Mukram menyifatkan laporan itu sebagai “siok sendiri” dan tiada yang luar biasa telah dilakukan oleh Menteri MOA.
Beliau mengambil contoh, usaha mentransformasi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melalui perubahan komposisi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di peringkat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan NAFAS dengan mewartakan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 merupakan tindakan untuk kepentingan politik Parti Amanah (Amanah).
Katanya, ahli-ahli Amanah telah dilantik sebagai AJP di 3 peringkat Pertubuhan Peladang (PP) iaitu PPK, PPN dan NAFAS, sedangkan MOA atau agensinya Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) tidak memiliki sebarang saham dalam PP.
Beliau berkata, Menteri MOA seolah-olah tidak faham bahawa PP adalah milik mutlak ahli-ahli peladang menerusi saham mereka.
“Menteri MOA sengaja memindah Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 yang kononnya bagi memperkukuhkan tadbir urus PP dan NAFAS.
“Tetapi sebenarnya tujuan pindaan itu bermotif politik kerana bagi membolehkan Menteri MOA melantik lebih ramai ahli Parti Amanah sebagai AJP di PP. Ini merupakan tindakan yang mendapat bantahan oleh ahli-ahli peladang seluruh negara.
“Kerana demi kepentingan politik Parti Amanah, Peraturan-Peraturan PP diwartakan yang pastinya akan membebankan PP kerana terpaksa membayar elaun AJP-AJP lantikan Menteri MOA dari Parti Amanah”. tegasnya.-pr/BNN