KOTA KINABALU: Persatuan Murut Sabah (PMS) memuji keputusan Kerajaan Negeri membatalkan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS).
Presidennya Datuk Rubin Balang berkata, keputusan itu amat dialu-alukan oleh rakyat Sabah khususnya masyarakat Murut di negeri ini.
“PSS yang mendapat bantahan daripada pelbagai pihak dan rakyat memang wajar dibatalkan pelaksanaannya.
“Keputusan pembatalan PSS membuktikan bahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal seorang pemimpin yang “gentlemen”, prihatin dan mendengar suara rakyat”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rubin mengulas keputusan Kerajaan Negeri membatalkan pelaksanaan PSS yang diumumkan oleh Shafie dalam sidang akhbar hari ini (Rabu).
Shafie berkata, keputusan pembatalan tersebut dibuat dalam mesyuarat Kabinet Kerajaan Sabah hari ini. Keputusan itu akan dimaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas melihat reaksi rakyat yang menolak PSS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.
Rubin berkata, keputusan PRK Parlimen Kimanis yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) merupakan “massage” jelas daripada rakyat yang tidak mahu PSS dilaksanakan.
“Rakyat Sabah kini lega kerana PSS dibatalkan. Namun tindakan tegas perlu diambil oleh Kerajaan Negeri terhadap masalah Pendatang Tanpa Izin (PATI) di Sabah”.
“Apa yang rakyat dan PMS mahu sekarang ialah Kerajaan Negeri menghantar Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang ada di negeri ini balik ke negara asal mereka.
“PMS mahu tindakan susulan dibuat oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi menyelesaikan isu dan masalah PATI yang menghantui negeri ini sejak sekian lama”, tegas Rubin yang juga Ketua BERSATU Bahagian Tenom.-pr/BNN