PAHANG: Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rompin, Dato’ Haji Md Ruslii Ismail menyokong kenyataan Pengerusi PPK Pitas, Datuk Ng Loi Tect berhubung kerugian yang dialami oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi tahun kewangan 2018.
Katanya, kenyataan Ng diharap dapat membuka mata ahli-ahli peladang seluruh negara khususnya para perwakilan ke Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Nafas ke 46.
Beliau berkata, Nafas merupakan sebuah institusi yang menguntungkan semasa diurus dan ditadbir oleh Ahli Jemaah Pengarah (AJP) terdahulu.
Bagaimana pun katanya, sejak perlembagaan Nafas digantung pada Jun 2018 dan kemudiannya ditadbir oleh pengurusan dan AJP sekarang, Nafas mencatat kerugian yang begitu besar dalam tahun 2018.
“Kerugian bersih Nafas (selepas cukai dan zakat) sebanyak RM23,224,188 merupakan satu kerugian yang besar”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Md Ruslii berkata, pemimpin peladang yang juga perwakilan ke MAT Nafas pada 25 Februari 2020 ini, yang telah menerima Laporan Penyata Kewangan Nafas berakhir pada 31 Disember 2018 perlu meneliti dan mengkaji laporan kewangan itu.
“Mereka hendaklah mendesak pengurusan dan AJP Nafas sekarang memberi penjelasan berhubung kerugian yang dicatat oleh Nafas dalam tahun 2018”.
“Para perwakilan juga perlu bijak menilai dan membuat perbandingan prestasi AJP sekarang dan AJP terdahulu, sebelum membuat keputusan dalam pemilihan AJP Nafas kali ini”, tegas Md Roslii.-pr/BNN