BELURAN:  Persatuan kebudayaan dan etnik perlu terus bergerak untuk perjuangkan kepentingan suku kaum masing-masing, kata Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
Ronald berucap di majlis itu.

Katanya, perbezaan politik tidak harus menjadi halangan kepada persatuan kebudayaan dan etnik bergerak demi untuk kepentingan persatuan.

“Perbezaan politik sehingga memudaratkan persatuan harus dielak kerana ianya merugikan ahli-ahli persatuan”, katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Dumpas Sabah (PDS) di Dewan Serbaguna Kampung Gana Jati pada Ahad.

Ronald (tiga dari kiri) bersama Abdul Wahab (kiri) dan sebahagian ahli majlis tertinggi PDS.

Persatuan Dumpas yang diterajui oleh Encik Wahab Abdul Gani sebagai presiden merupakan persatuan etnik yang baru ditubuhkan bertujuan untuk kebajikan ahli dan menonjolkan kumpulan etnik ini seiring dengan kumpulan etnik lain di Sabah.

Ronald berkata, banyak kejayaan telah dicapai oleh persatuan itu sejak penubuhannya tiga tahun yang lalu.

Antaranya ialah keterlibatan kumpulan kebudayaan persatuan dalam program rasmi yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dan pengiktirafan beberapa istilah dalam bahasa Dumpas oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Yang terpenting ialah Persatuan Dumpas telah berjaya wujudkan perpaduan yang erat dikalangan mereka”, katanya.

Beliau yakin, ahli-ahli persatuan itu akan terus membimbing anak-anak mereka untuk terus berjaya dalam bidang akedemik, agar lebih ramai kalangan mereka berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Katanya, Kerajaan menerusi pelbagai kementerian dan agensi yang ada akan terus membantu masyarakat luar bandar.

“Justeru ahli-ahli persatuan perlu merebut peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan demi menajukan diri dan persatuan itu”, tegasnya.-pr/BNN