KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub gagal melaksanakan tugasnya sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (MOA) yang diamanahkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ranau, Datuk Haji Jaimin Samitah berkata, Salahuddin merupakan Menteri MOA yang paling gagal kerana beliaulah masyarakat petani, penternak dan nelayan di negara ini kini menderita.
“Salahuddin bukan sahaja mengurangkan pelbagai jenis bantuan dan subsidi kepada golongan petani, penternak dan nelayan, malah telah melantik ahli-ahli Parti Amanah dalam Pertubuhan Peladang (PP) sebagai Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dan juga jawatan lain dalam agensi-agensi MOA”.
“Tindakan beliau telah menyusahkan PP terutamanya Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas)”.
“Ini kerana PP terpaksa membayar elaun AJP lantik politik yang telah dibuat oleh Salahuddin. Ini amat membebankan PP”.
“Beliau telah menggunakan PP sebagai alat bagi menawarkan jawatan lantikan politik kepada ahli-ahli Amanah demi kepentingan politiknya”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Salahuddin yang memohon maaf kepada petani, penternak dan nelayan di negara ini sekiranya dia gagal memperjuangkan nasib mereka sepanjang tempoh menerajui MOA.
“Saya ingin memohon maaf kerana saya telah mencuba yang terbaik selama satu tahun lapan bulan untuk memperjuangkan nasib anda semua”.
“Setakat ini sahaja hayat saya di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan saya mendoakan semoga nasib anda semua akan terus berubah di bawah kepimpinan MOA yang baharu nanti”.
“Saya telah menghabiskan sepanjang hayat saya di MOA untuk memperjuangkan nasib petani, penternak dan nelayan. Sekiranya saya masih gagal, saya sekali lagi memohon sepenuhnya kemaafan anda semua” kata Salahuddin.
Jaimin berkata, tindakan Salahuddin menggantung perlembagaan Nafas pada Jun 2018 setelah dilantik Menteri MOA, dan kemudian melantik orang-orang Amanah sebagai Pengerusi dan AJP Nafas juga amat mendukacitakan ahli-ahli peladang.
Katanya, tindakan kurang bijak Salahuddin itu telah menyebabkan Nafas dibawah pengurusan dan AJP sekarang menanggung kerugian lebih RM23 juta pada tahun 2018.
Menurutnya, ahli-ahli peladang amat kesal dan kecewa dengan kepimpinan Salahuddin kerana suara mereka yang membantah tindakan kurang bijaknya tidak dilayan dan tidak didengar oleh beliau.
Justeru katanya, beliau tidak nampak dari sudut mana Salahuddin telah membela atau memperjuangkan nasib petani, penternak dan nelayan di negara ini.
“Tidak ada gunanya Salahuddin memohon maaf kerana sewaktu menjadi Menteri MOA beliau enggan mendengar rintihan dan keluh kesah ahli-ahli peladang”, tegas Jaimin.
Beliau berharap bakal Menteri MOA yang baharu akan membela nasib golongan petani, penternak dan nelayan.-pr/BNN