VKM 2017 disambut meriah

0
Ratu Runduk Badi (tengah) Cik Mell Ann Lazarus, 18 tahun dari Kg.Losou Tintapon diapit naib johan Lija Nelson (kg.Nahaba), ketiga Cik Justina MInsin (Kg.Gensurai) dan Eryna Debra Jauneh (Kg Kelawat), Angie Stacy Dusim (kg.Ranggalau) dan Alyensra O’Line Daimel (Kg.Taginambur).

Oleh  Rozie Jumat

KOTA BELUD : Pesta Badi Taginambur melakarkan sejarahnya tersendiri yang julung kali dianjurkan sempena Bulan Melawat Kadamaian (VKM 2017).

ADUN Kadamaian Jeremmy menerima cenderakenangan dari JK Badi Taginambur berupa sepasang ayam kampung.

Penganjuran Pesta Badi Taginambur ini adalah atas inisiatif Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA), komuniti Taginambur ( 8 buah kampung) dengan kerjasama Majlis Daerah Kota Belud.

Badi atau tamu adalah nama popular yang digunakan oleh masyrakat Dusun yang merupakan penduduk terbesar di DUN Kadamaian. Aktiviti urusniaga tamu diadakan setiap hari jumaat yang terletak di terletak di tebing Sungai Kadamaian , Pekan Taginambur. Badi Taginambur adalah ke dua terbesar di daerah ini selain dari Tamu Mingguan Kota  Belud. Program Pesta Badi Taginambur adalah program utama Bulan Melawat Kadamaian di dalam usaha mempromosi berterusan usaha komuniti di dalam penglibatan eko pelancongan.

Suasana persekitaran tamu Taginambur

Pengerusi Pelaksana Jawatankuasa Pesta Badi Taginambur, Peter Samudin berkata, Kegiatan Tamu Taginambur atau dulunya popular Tamu Hari Lima Batu 10 bermula pada awal tahun 1960an di satu kawasan lapang ( kini Klinik Pekan Taginambur).

Tamu itu kemudian dipindahkan sekali lagi ke kawasan yang lebih luas pada tahun 1975. Akhirnya pada awal tahun 1980an tapak tetap tamu yang lebih luas diberikan oleh kerajaan terletak di tebing Sungai Kadamaian. Sejak dari itu urusniaga di Tamu Taginambur telah berkembang pesat.

Komuniti menjual pebagai hasil tani, hasil hutan, kraftangan, hasil ikan air tawar  manakala barangan asas seperti garam, gula , macis, ikan kering dijual oleh peniaga dari luar.

Ratu Runduk Badi (tengah) Cik Mell Ann Lazarus, 18 tahun dari Kg.Losou Tintapon diapit naib johan Lija Nelson (kg.Nahaba), ketiga Cik Justina MInsin (Kg.Gensurai) dan Eryna Debra Jauneh (Kg Kelawat), Angie Stacy Dusim (kg.Ranggalau) dan Alyensra O’Line Daimel (Kg.Taginambur).

Pengerusi Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) Walter Kandayon berkata, pesta tersebut akan menjadi satu acara tahunan dan satu permulaan yang baik atas permuafakatan komuniti Taginambur.

Tamu adalah medan perhubungan pelbagai bangsa dan perpaduan terserlah melalui kegiatan urusniaga komuniti. Impak kepada penganjuran Pesta Badi Taginambur akan membawa Taginambur sebagai Pusat Pelancongan dan Rekreasi dimasa akan datang.

Kata Walter, sokongan padu dan kerjasama komuniti amat mulia dan dan asas yang terbaik untuk terus berganding bahu memantapkan dan memajukan industri pelancongan di Kadamaian.

Kini terdapat 40 Jawatan Kuasa Peringkat kampung ditubuhkan untuk mengurus pelancongan. Dimana 60 peratus penduduk Kadamaian terlibat secara tidak langsung dalam sektor pelancongan luar bandar.

Suasana pertandingan masakan tradisi

“ Penglibatan mendadak komuniti Kadamaian dalam pelancongan adalah kerana agensi kerajaan sentiasa membantu mengerakkan pelancongan terus menanam kesedaran pelancongan di kalangan komuniti seperti kursus, bengkel dan ceramah motivasi,” kata Walter.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Jeremmy Malajad berkata, usaha murni Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) dan komuniti amat dihargai melalui penganjuran Pesta Badi Taginambur sempena Bulan Melawat Kadamaian amat dihargai.

Katanya, DUN Kadamaian adalah surga pelancongan yang tersembunyi di kaki Gunung Kinabalu, usaha dan insiatif KATA yang begitu komited mempromosikan Kadamaian sebagai surga pelancongan luar bandar.

“Kerajaan amat menghargai usaha komuniti yang menyedari potensi sektor pelancongan, Lembaga Pelancongan Kadamaian (STB) menghargai usaha KATA mengadakan Bulan Melawat Kadamaian untuk menonjolkan produk-produk pelancongan sekaligus menarik pelancong dari dalam dan luar negara,” kata Jeremmy yang turut mewakili Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai.

Kata Jeremmy, STB ingin melihat pelancongan menjadi alternatif sumber pendapatan kepada masyarakat luarbandar. Kadamaian kini menjadi contoh terbaik bagaimana pelancongan berasaskan komuniti mampu mencapai kejayaan hasil daripada muafakat masyarakat kampung.

Pelbagai acara telah diadakan selama 2 hari seperti pertandingan Lumoyou (Nyanyian), Runduk Badi yang menampilkan pakaian era 60an, pertandingan masakan tradisi, pameran hasil-hasil tani, kraftangan, pameran eko-eko pelancongan dan pelbagai acara menarik.

Seorang pengunjung dari Kota Kinabalu, Junis Korom berkata, Dahulu kala, kehidupan masyarakat KDM berkisar di sekeliling Badi atau Tamu utk tujuan sosial, ekonomi dan hiburan.

Pesta Badi Kadamaian adalah usaha awal untuk mengembalikan suasana ini dan ini amat relevan sekarang kerana ianya merangkumi pengukuhan persaudaraan antara masyarakat, tempat berjual beli pelbagai tanaman kampung dan untuk tujuan penggalakkan pelancongan di kawasan Kadamaian.

Konsep acara pentas iaitu Lumoyou Badi dan Runduk Badi yang kembali ke asas amat dialu-alukan dan harus dikekalkan bermula dari Pesta Badi yang pertama ini.-CE/BNN