KOTA KINABALU: Pendirian Parti Warisan Sabah (PAWAS) yang mahu bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,pada masa sama tetap menyokong kerjasama politik dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan (PH) diibaratkan seperti ‘Mahu Enak Sahaja’, kata Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Encik Ghazalie Ansing.

Katanya, nampak sangat bagaimana PAWAS cuba mengambil kesempatan terus bersama Mahathir kerana beranggapan jika PH kembali memerintah PAWAS akan tetap mendapat kerusi sebagai menteri di dalam Kabinet Mahathir nanti.

“Tetapi apabila situasi sekarang Muhyiddin adalah Perdana Menteri, PAWAS mahu pula bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan atas alasan demi kepentingan rakyat Sabah.

“Pendirian PAWAS yang mahu menyokong Mahathir jelas menunjukkan jika undi tidak percaya dibuat terhadap Muhyiddin di Parlimen, PAWAS pasti akan mengundi menjatuhkan Perdana Menteri supaya Mahathir kembali memerintah”.

“Jadi apakah maksudnya pendirian PAWAS yang mahu bekerjasama dengan Muhyiddin tapi tidak menyokong beliau? Bukankah ini hanya mengambil kesempatan?”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ghazalie yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau berkata, apakah yang dimaksudkan Presiden PAWAS, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kononnya beliau mempunyai hubungan baik dengan Muhyiddin, jika beliau tidak menyokong Muhyiddin apabila undi tidak percaya dibawa di Parlimen.

“Sebelum ini kita juga didendangkan dengan PAWAS sebagai sebuah parti yang bermaruah dan bukan parti cincai.

“Namun apa yang dilakukan oleh PAWAS hari ini telah terbukti dan menonjolkan diri sebagai sebuah parti yang cincai dan “cap ayam””, dakwa beliau.

Katanya, mereka tiada fakta untuk berdebat ataupun berhujah dengan UMNO Sabah, sebaliknya hanya mampu bermain-main dengan fitnah dan tuduhan- tuduhan palsu.

“Beberapa hari ini mereka sibuk menyebarkan “photo editing palsu kononnya kenyataan-kenyataan tidak benar telah di keluarkan oleh saya ataupun UMNO SABAH”.

“Ini merupakan tindakan yang sama sekali tidak bermaruah, kalau benar mahu berdebat dan bercerita, ayuh kita bercerita mengenai fakta bukannya khayalan atau fitnah”.

“Saya akan membuat satu laporan polis tentang tindakan tidak bertanggungjawab ini”, tegas Ghazalie.-pr/BNN