KOTA KINABALU: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sabah yakin kabinet baharu Kerajaan Persekutuan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Mohd.Isquzawan.

Ketuanya Mohd. Isquzawan Israq Datuk Arsit berkata, barisan anggota kabinet baharu itu melibatkan kombinasi  profesional,  teknokrat dan tokoh politik berpengalaman yang pernah menerajui Kabinet Persekutuan dahulu.

Katanya, barisan kabinet itu juga telah mengambil kira masyarakat majmuk negara ini terutama dalam kalangan bukan Islam termasuk Sabah dan Sarawak.

“Armada Sabah menyambut baik dan mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri (PM) ke 8, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana berjaya membentuk sebuah kabinet yang cekap, peduli rakyat,  telus dan berintegriti.

“Kami yakin kabinet baharu ini yang turut melibatkan pelantikan 2 orang pemimpin dari Sabah sebagai Menteri penuh dan 4 yang lain sebagai Timbalan Menteri mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat”, katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Armada BERSATU Sabah di  BERSATU Negeri, Alamesra, hari ini.

Beliau juga mengalu-alukan pelantikan dua pemimpin Bersatu Sabah iaitu Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA) dan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Mohd.Isquzawan berkata, pelantikan Ronald yang juga Ketua Bersatu Bahagian Beluran dan Rahim (Ketua Bersatu Bahagian Kudat) serta 4 lagi pemimpin dari Sabah dalam kabinet pusat adalah pengiktirafan buat rakyat Sabah dibawah pimpinan Muhyiddin.

4 lagi Ahli Parlimen Sabah yang turut dilantik ialah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr.Maximus Ongkili sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Presiden Parti STAR, Datuk Dr.Jeffrey Kitingan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Encik Arthur Joseph Kurup dilantik sebagai Timbalan Menteri JPM dan Encik Jonathan Yassin sebaga Timbalan Menteri Dalam Negeri II.

Mohd.Isquzawan berkata, mereka menggalas tanggungjawab dan amanah besar demi rakyat dan negara.

“Tugas mereka tambah mencabar, bersama Muhyiddin dan barisan kabinet lain mentadbir negara dan mendepani senario politik dan ekonomi yang kian mencabar demi kepentingan nasional”, tegasnya.

Sementara itu, Armada Sabah juga menyambut baik cadangan Ketua Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang mahu Kerajaan Persekutuan mewujudkan semula Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS).

Katanya, penwujudan JPPS penting agar peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan dapat disalurkan untuk membangunkan negeri Sabah, berikutan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Parti Warisan, UPKO dan Pakatan Harapan kini adalah pembangkang kepada pusat.

“Rakyat Sabah perlu menyokong cadangan penubuhan JPPS agar negeri ini terus menikmati pembangunan yang dibawakan oleh Kerajaan Persekutuan”, tegasnya.-pr/BNN