KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) menasihatkan pengamal media tidak mengabaikan faktor keselamatan dan kesihatan diri ketika berhadapan dengan cabaran membuat liputan ketika ini.
Presiden SJA, Datuk Muguntan Vanar berkata, aspek kesihatan seperti memakai topeng muka, membasuh tangan dan menggunakan alat sanitizer haruslah ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Ini memandangkan, menurut beliau, golongan wartawan, jurugambar dan jurukamera mampu terdedah dengan penularan wabak Covid 19 ketika bertugas di lapangan.
“Ya, semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan langkah Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara selama 14 hari bermula esok.
“Seiring tugas wartawan yang mencabar, intitusi komunikasi dan penyiaran adalah berkecuali dalam sektor yang direhatkan pada tempoh berkenaan.
” Selaku persatuan yang bertanggungjawab, saya menyeru kepada rakan-rakan pengamal media di Sabah supaya meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan masing-masing, kita berdoa semuanya akan berlaku dengan baik,” katanya.
Menurut Muguntan, selain daripada dua aspek penting itu, pihaknya turut menasihatkan supaya pengamal-pengamal media lebih beretika ketika membuat liputan dan menyampaikan sesuatu berita terutamanya berkaitan penularan wabak Covid 19.
Ini ditambah dengan cabaran media di Sabah berhadapan penyebaran berita-berita tidak sahih di sosial media, Facebook atau aplikasi WhatsApp yang mampu mempengaruhi rutin harian masyarakat awam.
“Secara umumnya, rakyat Sabah perlu tahu, kumpulan pengamal media di sini harus memainkan peranan penting dalam hebahan berita yang tidak mencetuskan panik atau kegusaran di kalangan masyarakat khususnya pada ketika ini.
“Sehubungan itu, adalah amat penting buat pengamal media di Sabah mendapatkan kerjasama rapat dengan mana-mana pihak berwajib, seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah bagi menyebarkan sebarang perkembangan sahih mengenai COVID-19 dari semasa ke semasa, “katanya.
Tambah beliau lagi, pihak berwajib juga diminta untuk bekerjasama dengan baik kepada pengamal media bagi mengemaskini status terkini mengenai senario semasa COVID-19 untuk dihebahkan secara telus kepada rakyat jelata.-pr/BNN