Gagasan membangun dengan ilmu akan diperkasa -Arifin

0
92
Arifin (duduk, barisan kedua tujuh dari kanan) bersama anak-anak Membakut yang berjaya ke menara gading

MEMBAKUT: Anak-anak Membakut yang  berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading diingatkan agar tidak mensia-siakan peluang keemasan yang mereka perolehi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif berkata, bukan semua pelajar lepasan SPM, STPM atau Matrikulasi berpeluang memasuki universiti awam.

“Justeru bagi pelajar yang diterima masuk ke universiti awam untuk pengajian tahun ini, jangan sia-siakan peluang keemasan ini untuk menuntut ilmu setinggi yang mungkin”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya sempena Program Ambang Menara Gading di kediamannya di Kampung Pimping dekat sini.

Lebih 40 orang anak-anak Membakut yang berjaya melanjutkan pelajaran di beberapa universiti tempatan diraikan di majlis itu.

Mereka juga diberi motivasi oleh Sufian Osman dari  Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai persiapan melangkah ke universiti.

Arifin berkata, bakal mahasiswa juga perlu mengingati jasa guru-guru dan ibu bapa yang telah mendidik dan membimbing mereka sehingga berjaya ke menara gading.

Katanya, semasa di universiti awam mereka perlu menimbah seberapa banyak ilmu yang boleh termasuk pengalaman berpersatuan dan pergaulan dengan mahasiswa dari pelbagai negeri, bangsa dan agama.

Arifin berkata, gagasan “Membangun dengan Ilmu”  yang diilhamnya akan terus diperkasakan untuk Membakut.

“Ini berikutan kesannya dapat dilihat dengan bertambahnya anak-anak Membakut bersemangat dan berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti awam”, tambahnya.-Oleh L.S. Kuang/BNN