Encik Ahmad Tajuddin Bin Gurahman

KOTA KINABALU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diseru agar bekerjasama rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan golongan yang kurang bernasib baik terus menerima bantuan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Parlimen Belia Sabah, Encik Ahmad Tajuddin Bin Gurahman berkata, setiap NGO khususnya NGO kebajikan mempunyai senarai individu atau keluarga kurang mampu yang wajar mereka bantu.

Bantuan makanan basah yang diusahakan oleh Ahmad Tajuddin juga disalurkan kepada frontliners di Pejabat Kesihatan Kudat

Menurutnya, selain mengharapkan golongan kurang mampu yang terkesan akibat Wabak Covid 19 dan PKP sendiri tampil memohon bantuan, JKM juga harus bekerjasama dengan NGOs dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.

“Ini memandangkan sebahagian daripada golongan tersebut menghadapi kekangan atau masalah perhubungan untuk berurusan dengan JKM”.

Ahmad Tajuddin (kiri) menyumbang lebih 2 tan ikan untuk golongan memerlukan di kawasan Kudat

“Saya ingin menyeru JKM sama ada di peringkat negeri, bahagian atau daerah agar bekerjasama rapat dengan NGO di kawasan masing-masing bagi tujuan murni tersebut”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Tajuddin yang juga Timbalan Ketua Penerangan Armada Sabah berkata, ketelusan dan integeriti pengagihan juga perlu dipastikan.

“Kita bimbang ada yang masih belum mendapat bantuan bahan makanan daripada Kerajaan, kerana ada sekumpulan kecil yang mungkin tidak dapat keluar rumah disebabkan PKP.

“Terdapat ibu dengan anak, berkeluarga yang menyewa di bilik, golongon ini juga harus dipastikan makanan dan barang dapur disalurkan kepada mereka”, tegasnya.

Katanya, rakyat sedar kepentingan tindakan Kerajaan meneruskan tempoh PKP sehingga 14 April 2020.

Menurutnya, bagi mereka yang bergaji hari dan peniaga kecil yang tidak dibenarkan membuka perniagaan sepanjang tempoh itu, tetap berasa gusar.

Beliau berkata, Ini kerana mereka tiada lagi punca rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Ahmad Tajuddin berkata, Kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif menerusi Pelan Rangsangan Ekonomi bagi membantu kelangsungan hidup golongan yang paling terkesan.

“Pelbagai jenis bantuan disalurkan untuk membantu semua peringkat rakyat. Dari rakyat biasa, pelajar, perkhidmatan awam, peniaga, usahawan, pesara kerajaan, petani, penternak, nelayan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan lain-lain semua tidak terkecuali mendapat faedah daripada Pakej Prihatin Rakyat.

“Inisiatif dan pelbagai bantuan ini sangat membantu rakyat yang terkesan akibat wabak Covid 19 dan PKP”, jelasnya.

Katanya, setiap daripada kita perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu mengekang penularan wabak ini.

Menurutnya, terus kekal di rumah, adalah usaha paling penting. Setiap rakyat harus memainkan peranan sebaik mungkin dan menunjukkan perpaduan sebagai rakyat Malaysia.

Ahmad Tajuddin berkata, bagi rakyat yang tidak mampu menyumbang kewangan, tidak mempunyai pengaruh untuk mengutip sumbangan derma, atau tidak berkemahiran, mereka masih boleh membantu dengan tenaga masing-masing.

Katanya, usaha seperti bertanya khabar keluarga di kampung, jiran dan sahabat melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram juga penting untuk memastikan semua mampu kekal tenang di rumah.

Beliau berkata, “Malaysia for all, all for Malaysia” harus menjadi slogan dan diterap dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.-pr/BNN