KOTA KINABALU: Armada BERSATU Bahagian Sepanggar hari ini membidas Timbalan Ketua Wira Pusat, Mohd Ismail Ayub yang mendakwa bahawa Kerajaan Sabah bersendirian memerangi wabak Covid-19.
Ketuanya Encik Abqaree Fawwaz Abekan berkata, dakwaan itu adalah tidak benar, tidak berasas dan sengaja direka oleh Warisan bagi mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah meminggirkan Sabah dan rakyatnya dalam menghadapi krisis wabak Covid-19.
“Buktinya, dalam Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM250 bilion yang dibentangkan bagi menghadapi krisis wabak itu, ianya telah merangkumi suntikan bajet untuk sektor kesihatan di negeri Sabah terutamanya untuk bekalan kit ujian COVID-19.
“Menerusi Pakej Rangsangan itu juga, rakyat Sabah tanpa mengira faham politik, agama, dan bangsa mendapat Bantuan Prihatin Nasional”, katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Mohd. Ismail Ayob yang mempersoalkan di mana perginya semua menteri dan timbalan menteri Persekutuan dari Sabah yang dilantik oleh PM baru-baru ini.
Mohd.Ismail mendakwa ketika Sabah mengalami kekurangan peralatan terutama kit ujian Covid-19, kerajaan negeri terpaksa bersendirian dalam memastikan wabak tersebut dapat dikawal, sebaliknya pemimpin-pemimpin Kabinet Persekutuan itu pula seperti menghilangkan diri.
Katanya, beliau melihat kerajaan negeri terpaksa bekerja keras memerangi Covid-19 secara sendirian dan terpaksa mengharapkan bantuan daripada badan kebajikan untuk membeli kelengkapan kesihatan.
Abqaree berkata, Kerajaan Persekutuan juga telah bersetuju untuk menyalurkan
peruntukan sebanyak RM130 juta kepada negeri-negeri untuk membantu kerajaan negeri menangani krisis COVID-19.
Beliau berkata, peruntukan sama rata itu diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan, kerana krisis itu memberi kesan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan politik.
Katanya, Muhyiddin menegaskan peruntukan ini boleh digunakan untuk memberi bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil yang terjejas, bantuan kepada pesakit COVID-19 dan ahli keluarga mereka serta menyediakan keperluan kepada petugas-petugas di peringkat kerajaan negeri yang terlibat dalam menangani krisis ini.
“Walaupun Kerajaan Warisan Negeri adalah pembangkang di peringkat Nasional, namun Kerajaan Persekutuan tetap menyalurkan peruntukan kepada negeri Sabah bagi membantu rakyat negeri ini.
“Saya amat hairan Mohd Ismail sebagai pemimpin parti Kerajaan seolah-olah sengaja tutup mata dan telinga, menafikan fakta ini (bantuan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah) sehingga membuat tuduhan tidak berasas terhadap pemimpin Sabah yang dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di peringkat Kerajaan Pusat”, tegasnya.
Katanya, peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan itu sebenarnya banyak membantu kerajaan negeri dalam menghadapi wabak COVID-19, termasuk memberikan bantuan bahan makanan kepada rakyat yang terkesan secara telus dan tulus.
Abqaree berkata, Mohd.Ismail juga kurang peka dan sedar bahawa petugas di barisan harapan (front liners) khususnya kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia, Pasukan Keselamatan-Polis dan Tentera adalah kakitangan Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya adalah kurang bijak bagi Mohd Ismail mempersoalkan tugas dan peranan Ahli Parlimen (MP) Sabah yang memegang jawatan Menteri dan Timbalan Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“MP BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR dan PBRS yang diberi peranan di peringkat pusat tidak akan meminggirkan hal ehwal Sabah dalam perancangan Persekutuan.
“Selain itu, Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan dari Sabah juga banyak turun ke kawasan masing-masing untuk membantu rakyat yang terjejas dengan krisis COVID-19″, tegasnya.
Serentak itu Abqaree menggesa Mohd Ismail menghentikan permainan politik dengan sengaja menyalahkan pemimpin Sabah di peringkat Kerajaan Persekutuan dikala negara menghadapi musuh yang sama iaitu Covid-19.
Sebaliknya kata beliau, Mohd Ayub jangan menjadi seperti peribahasa ” Seekor kuman di negeri China dapat dilihat, tetapi gajah bertenggek di batang hidung tiada sedar”.
Menurutnya, Mohd Ayub sepatutnya fokus membantu usaha menambah baik sistem pengurusan dan pengagihan bantuan bahan makanan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) yang kini dilanda kontrovesi, dan bukannya sibuk mencari kesalahan orang lain.
“Sepatutnya krisis wabak COVID-19 menyatukan kita tanpa mengira garisan politik dalam membantu negara dan rakyat yang terjejas. Sikap jentera Kerajaan Negeri di akar umbi yang memilih-milih dalam mengagikan bantuan makanan perlu dikikis kerana semua rakyat juga terkesan akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)”, tambahnya.-pr/BNN