KOTA KINABALU:  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah sekali lagi mengulangi sokongan penuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia (PM) dan Presiden parti.

Ketua Badan Pimpinan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, berdasarkan pergolakan politik semasa tanah air, BERSATU Sabah tetap dengan pendirian menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin sebagai PM ke 8 dan mengetuai parti.

Katanya, sokongan itu juga adalah berasaskan suara majoriti Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang telah bermesyuarat pada 23 Februari 2020 lalu, supaya BERSATU keluar dari Pakatan Harapan (PH).

“Adalah jelas bahawa tindakan yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin adalah betul, kerana ia berasaskan suara majoriti ahli MPT BERSATU”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, pendirian BERSATU Sabah adalah jelas dan berpandukan kemahuan sebahagian besar ahli MPT.

“BERSATU Sabah juga mahu Tan Sri Muhyiddin diberi peluang dan kepercayaan mengemudi negara dan seterusnya berusaha untuk mengurus dan menstabilkan kerajaan serta menyatupadukan rakyat negara ini.

“Rakyat dan negara juga memerlukan Tan Sri Muhyiddin dan team kabinetnya untuk mengurus negara menghadapi ancaman pandemik COVID -19 dan cabaran besar ekonomi dan perpaduan rakyat.

“BERSATU Sabah juga berharap agar Tan Sri Muhyiddin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad menggunakan kebijaksanaan mereka mencari kata sepakat menyelesaikan kemelut politik yang berlaku demi kepentingan negara dan rakyat”, tegasnya.-pr/BNN