KOTA KINABALU: UMNO Sabah hari ini menafikan laporan sebuah portal yang menyatakan bahawa Tan Sri Musa Aman tiada dalam senarai calon UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Penerangannya, Datuk Raime Unggi berkata, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Musa tiada dalam senarai calon UMNO.

Katanya, portal Salam Borneo yang pro parti Warisan sengaja mereka-reka kenyataan itu bagi mengelirukan rakyat dan penyokong UMNO.

Beliau berkata, laporan portal itu amat tidak berasas dan tidak beretika.

“Mesyuarat khas UMNO Sabah pada esok (Ahad, 2 Ogos 2020) tidak akan berbincang soal status pencalonan Musa untuk PRN Sabah.

“Justeru saya ingin mengingatkan ahli-ahli UMMO dan rakyat agar tidak terpengaruh dengan laporan yang mengelirukan oleh portal tersebut”, katanya dalam kenyataan.

Salam Borneo hari ini menyiarkan berita bertajuk “PRN Sabah,Musa Aman Tiada Dalam Senarai Calan UMNO : Bung”.

Antara lain portal itu melaporkan Bung sebagai berkata “Satu-satunya jalan penyelesaian kemelut politik dalam UMNO adalah menyingkirkan Musa Aman daripada senarai calon UMNO pada PRN sabah”.

Raimi menegaskan, Bung tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian, ianya sengaja diputar belitkan oleh portal tersebut.

“UMNO Sabah sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal itu kerana menyiarkan kenyataan tidak berasas, fitnah dan mengelirukan menggunakan nama Bung”, tegasnya.-pr/BNN