KENINGAU: Karya bertajuk “Keningau – The Hinterland Gem of North Borneo” arahan Elvin Liging muncul juara pada Majlis Anugerah Industri Kreatif Pelancongan Daerah Keningau 2026 yang berlangsung di Ficus Hall, Bandukan Resort, pada 2 April lalu.
Kemenangan itu sekali gus menonjolkan keupayaan penggiat kreatif tempatan dalam mengangkat keindahan serta keunikan Keningau melalui pendekatan penceritaan visual yang berimpak tinggi.
Tempat kedua dimenangi “Keningau Menunggu” arahan Ira Ivanna Lunjin, manakala tempat ketiga menjadi milik “The Scent of Kayu Manis” arahan Kennedy Ang Chee Ming.
Majlis anugerah berkenaan dianjurkan Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTCA) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Tourism Malaysia Sabah serta Sabah Film and Visual Association (SAFVA), sebagai platform memperkasa industri kreatif tempatan.
Pengerusi KeTCA merangkap Pengerusi Penganjur, Rafie Datuk Robert, berkata pertandingan filem pendek berunsurkan pelancongan itu menjadi medium strategik dalam mempromosikan Keningau ke peringkat lebih luas.
Menurutnya, pendekatan kreatif melalui perfileman bukan sahaja mampu menarik perhatian pelancong, malah membantu memperkukuh imej daerah sebagai destinasi yang kaya dengan warisan dan keindahan alam semula jadi.
“Ini juga membuka ruang kepada bakat baharu untuk diketengahkan, sekali gus memacu perkembangan industri kreatif tempatan secara lebih menyeluruh,” katanya.
Menurutnya, sebanyak lebih 20 penyertaan diterima, dengan 10 karya terbaik dipilih ke peringkat akhir berdasarkan kualiti penceritaan, kreativiti serta keupayaan menonjolkan elemen pelancongan Keningau.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan wakil Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Nasrul Hadi Menan, diiringi Rafie serta Presiden SAFVA, Chester Pang.
Selain kategori utama, anugerah khas turut diberikan kepada karya Ceritera Alam dan Jiwa arahan Rosli Pitri yang memenangi Anugerah Pelakon/Host Terbaik dan Filem Popular.
Sementara itu, Anugerah Filem Kreatif turut dimenangi Keningau – The Hinterland Gem of North Borneo, sekali gus mengukuhkan pengiktirafan terhadap karya berkenaan.
Tujuh anugerah saguhati turut disampaikan kepada beberapa karya lain termasuk Langkah Pulang, Chasing Dawn, Keningau, Kampung Rantai – A Hidden Gem, Keningau Wonderland, Surat Untuk Keningau serta Ceritera Alam dan Jiwa.
Rafie berkata, penganjuran program itu diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kreatif dan pelancongan di Keningau melalui pendekatan digital dan inovatif yang lebih berkesan.
Dalam pada itu, beliau bagi pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua kementerian, jabatan dan agensi yang terlibat, khususnya KPSTI, Tourism Malaysia Sabah dan SAFVA atas sokongan dalam menjayakan program berkenaan.
“KeTCA turut komited untuk terus memperluas kerjasama strategik bagi memajukan industri pelancongan dan kreatif secara mampan di daerah ini”, tegasnya.-pr/BNN





