KOTA KINABALU: Penerangan Srikandi Bersatu Sabah digesa untuk menggunapakai segala medium, ilmu, kemahiran dan idea bagi memastikan gerak kerja kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kekal aktif walaupun keadaan semasa negara berdepan pandemik Covid-19 memerlukan semua orang mematuhi SOP.
Ketua Penerangan Srikandi Sabah Mizma Appehdullah berkata, kekangan semasa tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk gerak kerja kempen terbatas.
“Aktifkan semua media sosial dan gunakan ia sebaiknya kerana kita perlu aktif, pantas, cepat dan cekap dalam memberikan maklumat effisien kepada pengundi dan rakyat supaya hala tuju kempen kita berkesan, walaupun berada dalam kebiasaan baharu akibat pandemik Covid-19.
“Ketua Penerangan Srikandi juga perlu bijak dalam memenangi hati rakyat dan pengundi dengan memberikan maklumat yg sahih dan menyakinkan, kerana kita tidak mahu bekerja umpama ‘melepaskan batuk di tangga’, kita mahu Ketua Penerangan Srikandi yang celik teknologi dan sentiasa peka dengan maklumat semasa,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusi Mesyuarat Penerangan Srikandi Bersatu Sabah di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Penerangan Srikandi Halizah Din serta ketua-ketua Penerangan Srikandi bahagian- bahagian dari Sabah.
Mizma yang juga merupakan Exco Srikandi Bersatu Malaysia itu juga menegaskan bahawa Penerangan Srikandi perlu menonjolkan kekuatan parti dan kelemahan lawan, agar pengundi dapat melihat dan membuat pernilaian.
Tambah Mizma lagi, Ketua Penerangan Srikandi juga perlu bijak dalam mengekalkan keharmonian dan hubungan baik dengan semua sekutu dan parti komponen yang bernaung di bawah Perikatan Nasional.
“Kekalkan jalinan silaturahim yang baik sesama kita dan rakan seperjuangan kerana kerjasama yang baik juga adalah penyumbang kepada kekuatan dalam gerak kerja bagi mencapai kemenangan.
“Kita juga mahu usaha kita diterima baik oleh semua golongan dan termasuk juga golongan muda yang merupakan pengundi baharu kerana suara mereka dan pandangan mereka akan menyumbang kepada pembentukan dan corak masa depan negeri kita, dan juga Malaysia,”katanya lagi.
Dalam pada itu, Mizma juga menyeru agar Ketua Penerangan Srikandi sentiasa berpegang teguh kepada prinsip parti Bersatu iaitu Bersatu, Beramanah, Bermaruah.
“Kita ada prinsip perjuangan parti dan jangan sesekali menyimpang dari prinsip ini kerana kita memegang imej parti dan kita juga punyai kelebihan kerana Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah ayahanda kita dalam perjuangan Bersatu.
“Sudah pasti kita perlu lebih bersemangat khasnya dalam gerak kerja bahagian dan di kesemua cawangan kita dan jangan timbul penyesalan kelak sekiranya kita tidak berjaya dalam PRN Sabah ke 16 nanti, akibat daripada kelalaian dan sikap memandang remeh pada gerak kerja parti,” ujar beliau lagi.-pr/BNN