KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semporna menyambut baik ketegasan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang mahu warga kerja Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berintegriti dalam melaksanakan tugas mereka.
Pengerusinya, Encik Abd. Rahim Oting berkata, gesaan Salahuddin itu bertepatan dengan teguran yang dibuatnya mengenai LPP, kelmarin.
Beliau berkata, integriti dan amanah dikalangan kakitangan LPP begitu penting bagi memastikan kejayaan dan kecemerlangan organisasi itu.
“Selain itu mereka juga perlu amanah, bijaksana dan berhemah dalam membelanjakan setiap sen duit rakyat”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdul Rahim mengulas ucapan Salahuddin, yang mahukan warga kerja LPP menjadikan integriti sebagai amalan dalam melaksanakan tugas seharian.
Beliau mahu warga LPP saling mengingati dan menjadikan integriti sebagai amalan kerja terutama perkara membabitkan kepentingan rakyat.
Katanya, mereka perlu melaksanakan tanggungjawab membantu petani dengan amanah dan bijaksana.
“Input subsidi dan insentif perlu diberikan secara telus dan bersasar tanpa sebarang motif untuk kepentingan sendiri atau pihak tertentu.
“Kita harus sentiasa ingat semua duit kerajaan adalah duit rakyat yang wajar dipulangkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Salahuddin berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan Pengerusi LPP Datuk Mazlan Aliman yang diwakilkan untuk merasmikan sukan dwitahunan LPP yang berlangsung di Bangi, Selangor sehingga Isnin ini membabitkan kira-kira 1,360 peserta mewakili 16 kontinjen.
Abdul Rahim kelmarin mempersoalkan rasional Mesyuarat Pengurusan Tertinggi LPP Bil .1 tahun 2019 akan diadakan di Hotel Promenade, Kota Kinabalu bermula 15 hingga 18 Februari 2019.
Beliau hairan kenapa mesyuarat itu perlu diadakan di luar daripada Kuala Lumpur yang akan membelanjakan kos yang banyak.
Dalam pada itu, ahli peladang Unit Malalia, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sipitang, Encik Wahid Miasin yang juga Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sipitang berkata, Salahuddin merupakan contoh pemimpin yang prihatin terhadap rakyat.
“Ini kerana beliau sedar duit kerajaan adalah milik rakyat dan LPP perlu membelanjakannya dengan amanah dan berhemah, sebaliknya bukan untuk kepentingan diri mereka”, tegasnya.
Katanya, teguran Salahuddin terhadap Ketua Pengarah LPP,Haji Hamzah Haji Bahari dan Timbalannya, Puan Azulita Salim bertepatan sekali berdasarkan beberapa tindakan mereka yang membelakangkan kepentingan ahli-ahli peladang dan rakyat.
Wahid berkata, beliau difahamkan Hamzah dan Azulita yang pernah menerajui Permodalan Peladang Berhad (PPB) anak syatikat NAFAS masing-masing sebagai Pengurus Operasi kemudian sebagai Pengurus Besar dan Pengurus Kewangan.
Bagaimanapun PPB mengalami kerugian besar dibawah jagaan mereka pada masa itu.
“Justeru, pegawai tertinggi LPP yang gagal mematuhi arahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan membelakangkan kepentingan rakyat harus dikenakan tindakan tegas kerana perbuatan mereka akan menghakis keyakinan dan sokongan rakyat kepada kerajaan hari ini dan di anggap mensabotaj kerajaan PH terdiri dari Parti PPBM (BERSATU) PKR, AMANAH DAN DAP tegasnya.-pr/BNN