KOTA KINABALU: Sambutan Pesta Kaamatan merupakan perayaan terbesar di Negeri Sabah, kini diadakan semula secara fizikal selepas dua tahun diadakan secara hybrid.

Pada 1 April lalu, negara beralih dari fasa pendemik kepada endemik yang memberi
kelonggaran untuk mengadakan aktiviti sosial.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jeffery Kitingan, pengerusi  jawatankuasa induk sambutan pesta kaamatan peringkat negeri sabah dalam satu kenyataan berkata walau bagaimanapun, pihak penganjur di peringkat induk dan di peringkat daerah sentiasa memastikan agar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi bagi mengelak berlakunya jangkitan COVID-19.

Sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini turut disambut secara fizikal di semua daerah dan beberapa Cawangan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) di Semenanjung seperti Johor, Melaka, Klang Valley dan Putrajaya. Begitu juga, warga Sabah yang berada di luar negara seperti New Zealand, Australia (Perth) dan USA (New York) yang sedang merancang untuk mengadakan sambutan di sana, katanya.

Menurut beliau, pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah akan berlangsung pada 1 Mei 2022 (Ahad) bertempat di Pusat Kraftangan Sabah, Keningau. Ia akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji bin Noor.

Jeffery yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Dabah berkata, beberapa aktiviti akan diadakan sempena Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2022 di Keningau yang mana sebelum ini tidak dapat diadakan atau hanya diadakan secara hybrid, akan diadakan semula secara fizikal dan dilaksanakan dalam bentuk pertandingan yang melibatkan penyertaan dan hadiah seperti pertandingan unduk ngadau, sugandoi, sukan rakyat, masakan tradisi dan paluan gong.

“Antara aktiviti lain yang diadakan ialah Hari Peladang Penternak dan Nelayan Negeri Sabah Tahun 2022, pameran dan jualan kraftangan, konsert Kaamatan, gerai jualan dan cabutan tiket bertuah yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 29 April 2022.”

“Manakala, kemuncak Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah akan diadakan di Hongkod Koaisan, KDCA pada 30 dan 31 Mei 2022. Majlis perasmiannya dijangka akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin pada 31 Mei.”

“Tema sambutan pesta kaamatan pada tahun ini ialah “Kaamatan Menjiwai Ala Semulajadi, “Kaamatan Monunduan Do Winorun” dan “Kaamatan Ensouls Nature”.”

“Selaku Pengerusi Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2022, Saya mengharapkan sambutan pesta kaamatan pada tahun ini dapat diraikan dengan meriah di semua peringkat melalui keharmonian dan perpaduan antara kaum di Negeri Sabah. Justeru itu, semua pihak perlulah sentiasa memastikan keselamatan diri dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” kata nya.

“Pada hari ini, Jabatan Penyiaran Kawasan Sabah selaku penyiar rasmi media elektronik Kaamatan di bawah Jawatankusa Teknikal, Publisiti dan Hebahan akan membuat pelancaran lagu kaamatan yang bertajuk “POGUN KU” atau dalam bahasa melayu “Negeri Ku”.”

“Lagu ini berkisarkan Negeri Sabah, khasnya kepada masyarakat Kadazan/Dusun yang hidup aman damai dan mesra dengan masyarakat memiliki kebudayaan unik serta kaya dengan adat hingga hari ini. Lagu ini dicipta dan dinyanyikan oleh semua Dj Sabah Vfm iaitu Denis Primus, Johanna Joseph Lokupi, Marklinus Joseph Antang, Stephanie Jipolin Jouti, Minami T. Anduini, Alice Marius, Ben Alexson @Stephen Jivinu, Peter Claudius Jokinol dan Eve M. Saiman. Sementara itu, Anna Stanislaus bertindak sebagai penulis lirik dan Douglas Henry Monis sebagai komposer lagu.”

“Dalam pada itu, TV Sabah selaku Official Livestreaming Kaamatan 2022 pula akan
melancarkan gimik Kaamatan Roadtour 2.0 dengan penjelajahan di beberapa daerah sepanjang Mei bermula di Daerah Keningau pada 1 Mei (pelancaran), kemudian ke Tungku, Lahad Datu (7 Mei), Tuaran )11 Mei), Tambunan (12 Mei), Beluran (14 Mei), sebelum sambutan di KDCA pada 19 hingga 31 Mei 2022.” -pr/BNN