KOTA KINABALU;Lebih 100 orang penduduk Kampung Sembulan menyertai Program Kesedaran “ Tiada Lagi Denggi” di Balairaya Kampung Sembulan Lama, baru-baru ini.
Program itu adalah anjuran Universiti College Sabah Foundation (UCSF) dengan kerjasama Pasukan Sokongan Teknikal Denggi, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Persatuan Aedes Busters Sembulan dan Persatuan VCM Sabah dan Labuan.
Menurut Pensyarah UCSF, Puan Sharmimiee Mohd Hussain, program itu merupakan salah satu Khidmat Masyarakat yang diletakkan dibawah kendalian Pusat Bahasa dan Pembangunan Generik UCSF.
“Ia bertujuan untuk menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan para pelajar dan diketuai sendiri oleh pelajar UCSF, Cik Dayang Nurin Nabilah binti Awang Indra dan dibantu oleh rakan-rakannya”.
Katanya, antara aktiviti pengisian Program Kesedaran “ Tiada Lagi Denggi” ialah derma darah, ujian saringan HIV/AIDS, saringan kesihatan, ceramah denggi dan promosi pendidikan dari UCSF.
Wakil Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Haseanti Hussein dalam ceramah kesedaran Denggi menegaskan, kebersihan adalah kunci utama kepada pengurangan kes Denggi.
Katanya, penduduk kampung perlu mengutamakan kebersihan diri, keluarga dan persekitaran bagi memerangi penyakit  Denggi.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM)  N.22 Tg. Aru, Encik Reduan Datuk Aklee yang turut hadir menyolong program kesedaran Denggi yang dijalankan, bersama pemimpin masyarakat dan penduduk kampung daripada beberapa buah kampung yang terlibat.
Sementara itu, Pemangku Dekan Unit Bahasa dan Pembangunan Generik UCSF, Puan Noorashiqin Ahmad mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program itu dan menyokong penuh program-program yang akan diadakan pada masa hadapan bersama penduduk Sembulan.
Dalam pada itu, Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris ketika ditemui berkata, pelajar UCSF sentiasa dibimbing dan digalakkan dalam aktiviti kemasyarakatan serta khidmat sosial.-pr/BNN