KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menghargai peranan dan kerjasama media selama ini terutama dalam memberi laporan berkaitan segala usaha yang telah, sedang dan akan diambil oleh kerajaan di negeri ini, termasuklah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Sehubungan itu, beliau meminta pengamal media di negeri ini terus memberi sokongan
dan membantu dalam melaporkan program yang dilaksanakan kerajaan agar dapat
diketahui oleh rakyat di peringkat akar umbi.

“Sebab itu, sebagai tanda sokongan berterusan dan menghargai sumbangan media di
Sabah, saya telah membuat keputusan pada tahun 2022 untuk meningkatkan jumlah
sumbangan kerajaan negeri bagi penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu
daripada RM60,000 sebelum ini kepada RM100,000.

“Jumlah yang sama juga diberikan bagi penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu
pada tahun ini. Peningkatan sumbangan ini juga adalah pengiktirafan kerajaan negeri
kepada media sebagai salah satu rakan kongsi yang penting dalam membantu
menyebarkan dasar dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri,” katanya
sempena Majlis Aidilfitri Ketua Menteri bersama Media 2024 di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata media turut memainkan peranan penting dalam usaha
membangunkan rakyat dan negeri.

“Menerusi laporan media ia kadangkala menjadi antara sumber maklumat kepada
kerajaan untuk mengetahui apa yang berlaku di peringkat akar umbi, selain rintihan
rakyat.

“Saya juga meminta media supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab, profesional
dan beretika dalam menyampaikan laporan agar rakyat tidak keliru hingga menimbulkan
rasa bimbang.

“Oleh itu, saya menggesa media arus perdana supaya menyediakan berita yang tepat
dan berfakta bagi menangkis pelbagai berita palsu yang dilaporkan di media sosial,”
katanya.

Mengenai sambutan raya bersama media itu, Ketua Menteri berkata majlis ini adalah sebagai tanda terima kasih dan menghargai peranan penting pengamal media sama
ada media cetak, elektronik dan portal dalam membuat liputan program-program dan
aktiviti anjuran kerajaan negeri.

Sempena majlis itu, Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan sebanyak
RM100,000 untuk penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2024 kepada
Muguntan.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong;
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston
Bangkuai; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharram;
Pengarah Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Lucy Irene Yong;
Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Datuk Muguntan Vanar; Presiden Kota Kinabalu
Journalists Association (KKJA), Jimmy Goh; Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia,
Sabah, Salmah Hashim dan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysa, Sabah, Jainisah
Mohd Noor.

Lebih 250 pengamal media termasuk ketua-ketua biro dan pengarang menghadiri majlis
berkenaan.-pr/BNN