KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima
kunjungan hormat Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) Ke-6, Leftenan
Jeneral Dato’ Mohd Sofi bin Md Lepi di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Rabu.
Kedua pihak berbincang mengenai hal ehwal keselamatan negeri dan negara. Mohd Sofi, 53, dilantik sebagai Panglima PMTTD ke-6 menggantikan Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad pada Jun 2023.
Mohd Sofi dilahirkan di Ulu Yam, Selangor pada 14 April 1970, menyertai Tentera Darat Malaysia (TDM) pada 19 Ogos 1988. Beliau ditauliahkan dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1 Julai 1990 sebaik menamatkan latihan pegawai kadet di Royal Military College, Duntroon, Australia.
Pada 27 Jun 2022, beliau dinaikkan ke pangkat Mejar Jeneral dan dilantik sebagai Ketua Staf Tentera Darat di Markas Tentera Darat. Sementara itu, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Pengarah baharu Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Asits Bin Sanna.
Beliau dilantik sebagai pengarah pada 22 Jun 2023 menggantikan Datuk Dr Rose Nani Mudin yang bersara wajib. Mengiringi Dr.Asits ialah Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan) Puan Jasnawati Jasmin.-pr/BNN