KOTA KINABALU: Program Bantuan Ihsan Komputer atau BAIK yang diperkenalkan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah antara usaha untuk membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan memiliki komputer riba bagi tujuan pembelajaran, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Justeru, beliau melahirkan rasa syukur kerana program yang diperkenalkan oleh kerajaan GRS itu telah memberi manfaat kepada lebih 2,000 pelajar Sabah sejak bantuan ini diperkenalkan pada tahun 2022.

“Program BAIK ini adalah antara inisiatif tambahan kepada program sedia ada yang lain bagi memastikan semua pelajar-pelajar kurang berkemampuan yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) memiliki komputer riba. Pada masa kini, komputer menjadi alat penting kepada pelajar, dan atas faktor itu, kerajaan negeri telah memperkenalkan program BAIK, yang mana tidak pernah dilaksanakan sebelum ini. Program BAIK ini juga diteruskan lagi pada tahun ini bagi memberi peluang kepada anak-anak Sabah di IPT memohon,” kata beliau.

“Selain BAIK, beberapa program lain untuk membantu pelajar diteruskan, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara sekali bayar (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI). Banyak inisiatif yang kita sediakan bagi membantu dan memastikan anak-anak Sabah tidak tercicir dalam meneruskan pengajian mereka,” katanya di sini pada Selasa.

Sementara itu, pelajar dalam jurusan perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu, Norshafikah Zaiddi, 24, melahirkan rasa syukur kerana akhirnya berjaya memiliki komputer riba sendiri untuk kegunaan di universiti. Norshafikah yang berasal dari Sandakan berkata sebelum ini beliau terpaksa berkongsi komputer riba dengan adiknya. “Justeru, saya berasa gembira kerana kini sudah ada komputer sendiri, sekali gus memudahkan saya membuat tugasan,” katanya sambil menambah kedua ibu bapanya hanya bekerja sendiri.

Bagi seorang ibu, Sabnah Jamdan, 43, berasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dengan pemberian komputer menerusi program BAIK itu. “Komputer riba ini akan memudahkan anak kami yang kini menuntut di Kolej Matrikulasi Labuan menyiapkan tugasan yang diberikan. Alhamdulillah, pemberian ini amat membantu anak saya,” katanya yang juga suri rumah sepenuh masa.

Penerima komputer riba ini adalah antara 1,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menerima manfaat itu bagi permohonan tahun lalu. Program BAIK adalah antara usaha kerajaan negeri membantu anak-anak kurang berkemampuan yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT untuk memiliki komputer riba sendiri.

Untuk maklumat lanjut, pemohon-pemohon baharu boleh layari https://baik.sabah.gov.my.-pr/BNN